Friday, May 15, 2009

Ku Berjalan lalu ku berlari perlahan

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t
Ampang Hilir: 1:30pm: Jumaat :15/5/09

Alhamdullillah, Allah masih memberi kesempatan untuk kita merasai nikmat Islam dan Iman. Semoga kita terus mendapat hidayah dari Allah s.w.t.
Hari ke hari berlalu tanpa penulis sedari, bulan sudah mahu mengenjak ke bulan seterusnya...
Betapa kerdilnya diri ini, sebagai hamba penulis hanya mampu akur apa yang telah Allah tetapkan.

Selama hampir 5 bulan penulis melalui kehidupan sebagai orang kota, macam-macam yang dilalui. Suasana juga berbeza, tarbiyahnya juga turut berbeza, segala-galanya berbeza. Itu adalah pengalaman sebenarnya. Tertarik penulis dengan tulisan dari seorang ukhti, tentang ISTIQAMAH KITA DALAM PERJUANGAN DAKWAH: ANTARA ARNAB DAN KURA-KURA.

Minta izin ye k.Dayang untuk penulis pinjam tajuk di atas. Insyaallah ini adalah huraian dari penulis sendiri.

Cerita:

Perhimpuan semua haiwan di dalam hutan. Perhimpunan kali ini diketua oleh raja rimba Sang Singa. Macam-macam jenis haiwan yang datang berkumpul di persidangan haiwan-haiwan sedunia ( hehehe...sesuke hati je). Yang menjadi tumpuan adalah kura-kura dan arnab kerana bilangan dua jenis haiwan ini memonopoli persidangan kali ini.

Kura-kura sejenis haiwan yang sangat terkenal dengan sifat 'lambat'nya manakala arnab pula terkenal dengan sifat pantas berlarinya.

Kata arnab pada sang kura-kura: "kura-kura kenapa lambat sangat, cepat lah sikit. Tengok macam aku sentiasa berlari pantas dan cepat, macam mana engkau mahu 'menggegarkan dunia' sekiranya engkau masih dengan sikap yang lambat tu."

Wahhh...bukan main lagi si arnab, sangat bersemangat. "tidak mengapalah." kata kura-kura kepada sang arnab." Berdikit-dikit ke hulu, berenang-renang ketempian". Sambung sang kura-kura pada si arnab.( Eh! kura-kura pun pandai guna pantun..hehehe) 

Pada suatu hari (macam biasalah kalau dah cerita arnab dengan kura-kura ni x sah kalau tak ada pertandingan berlari) satu pertandingan larian diadakan. Antara pesertanya adalah arnab dan kura-kura. Sang arnab berlari sangat laju dan memandang rendah pada kura-kura yang merangkak perlahan.

20 minit selepas pelepasan perlumbaan:

Kata sang arnab pada dirinya: "aku rasa dah letih lah sekarang, kura-kura masih jauh lagi, lebih baik aku berehat dulu". Sang arnab mengambil keputusan untuk berehat sebentar di bawah sepohon pokok yang rendang lalu terlena dan bermimpi bahawa dia telah menang perlumbaan.

30 minit seterusnya:

Dengan perlahan kura-kura melintasi si arnab yang sedang nyenyak tidur lalu memenangi perlumbaan kali ini. Arnab sangat menyesali perbuatannya juga merasa malu dengan si kura-kura yang telah berjaya mengatasinya walaupun si kura-kura hanya berjalan perlahan.
 (cerita merepek je....)
 
Tamat....

So, apa pengajaran yang kita boleh ambil?
Banyak kan

Pertama: 
sebagai orang yang ditarbiyah tidak seharusnya memandang rendah pada orang yang 'LAMBAT' proses pentarbiyahannya. Kerana manusia ini pelbagai. Tidak seharusnya 'kamu' yang bersemangat untuk sentiasa 'berlari' beranggapan hamba allah yang 'tidak berlari' itu adalah orang yang cuba untuk 'tidak bergerak'. Urusan itu hak milik Allah. Hanya Allah sahaja yang tahu samada si 'hamba allah' tadi bergerak ataupun tidak. Masakan perlu diberitahu satu dunia bahawa 'aku sedang bergerak, lihatlah aku'.

Jadi sekiranya ada penyakit yang sebesar zarah itu (su'uzon) terhadap hamba allah tadi maka moleklah kiranya di cek kembali diri. Adakah tarbiyah mengajar kita untuk berburuk sangka pada orang yang disangka 'tidak berlari' tadi? Jika kita berlari sekencang mana pun tetapi urusan batin (hati) tidak selesai, maka di manakah nilai tarbiyah yang kita perolehi?

Disamping dakwah yang kita sebarkan, seharusnya kita juga perlu mencari ilmu untuk mengenal 'HAKIKAT DIRI'.

Kedua:
Penulis menyeru para penyebar agama Allah yang sedang berlari kencang supaya kita mengambil contoh sikap dua ekor binatang tadi. Biarlah kita menjadi arnab yang kencang berlari dalam masa yang sama kita juga adalah kura-kura yang merangkak perlahan. Supaya kita tidak menjadi arnab yang sombong, merasakan bahawa 'kamu'lah orang yang bersungguh-sungguh dalam menyebarkan agama, 'kamulah' orang yang sanggup berkorban demi agama. 'kamulah' orang yang sanggup berkorban segala-galanya...segala-galanya adalah 'kamu' sahaja. Dan merasakan orang lain tidak seperti kamu. Juga mengharapkan orang lain juga seperti kamu. Cepat, pantas, semangat jitu dan sebagainya. Salah begitu. Oleh kerana itulah dakwah memerlukan hikmah. Kita bukan mahu melihat hasilnya sekarang sahaja tetapi 10 atau 20 tahun akan datang 'hamba allah' itu tetap bersama-sama di perjalanan ini.

Pesan penulis, jangan terlalu asyik untuk berlari kencang, takut-takut bila tersepak batu lalu terjatuh dan luka. Dan pada waktu itu semangat untuk berlari semula sudah hilang.Bukankah bahaya begitu. Penulis bercerita melalui pengalaman yang penulis lalui selama diperjalanan mencari yang haq. Sedih dan hiba apabila 'hamba2 allah' yang berlari kencang suatu masa dahulu, kini sudah tersungkur jatuh dan tidak mampu untuk bangun lagi. Berbeza dengan 'hamba allah' yang dulu merangkak perlahan kini masih kekal di perjalanan ini.

Jadilah juga seperti kura-kura,walaupun perlahan tetap berjalan. Berjalan penuh hikmah...selama-lamanya. Penulis doakan agar para penyebar agama di luar sana, agar terus thabat dijalan yang satu ini. Ameennn....

Maafkan lisan yang tidak terjaga, sekadar peringatan untuk diri penulis sendiri agar tidak terlalu asyik untuk 'berlari' kencang. 

Peringatan: 
untuk membina sebuah bangunan batu-batu yang berkualiti sangat diperlukan. Oleh kerana itu batu-batu itu akan dipilih dan terus dipilih agar mendapat binaan yang kukuh dan mantap. Tetapi batu-batu yang kurang kualitinya juga masih diperlukan agar dapat menampung lubang-lubang kecil yang wujud antara batu bata yang kukuh tadi. Begitulah jugak hendaknya dakwah kita. Pemilihan demi pemilihan oleh Allah akan terus berjalan. Hanya masa yang akan menentukan samada kita adalah antara orang yang terpilih. Oleh itu perlu kepada kerja keras agar nama kita masih tersenarai dalam 'list' orang-orang yang berlumba dalam melakukan kebaikan. Wallahualam.


No comments: