Friday, March 13, 2009

Apabila hati berbicara

Apabila di uji dititik yang terlemah……

Apabila berbicara persoalan cinta, ia pasti akan dikaitkan dengan remaja, padahal yang bukan remaja pun akan terlibat sama kerana ia adalah fitrah manusia. Ibarat langit dengan bumi yang mustahil sekali untuk dipisahkan, begitu juga remaja dan cinta, dua perkara yang bagaikan telah sebati sehingga memberi ilham kepada komposer-komposer lagu mencipta lagu dan lirik yang berkaitan dengan cinta, penyair-penyair yang mencipta bait-bait puisi atau sajak yang juga bertemakan cinta. Demi menggambarkan perasaan cinta itu segala ciptaan Tuhan dijadikan sebagai lakaran metafora dan analogi dalam percintaan. Seperti petikan dialog dalam salah satu babak filem zaman dahulu, antaranya: “jika aku menjadi kumbang?aku akan menjadi mawarnya, jika aku menjadi racun? Aku akan menjadi penawarnya, jika aku menjadi bulan? Aku akan menjadi bintang, jika aku menjadi langit? Aku akan menjadi bumi, jika aku mati? Aku turut ingin bersama denganmu”.

Tanpa kita sedar, perubahan psikologi dan biologi remaja kini menyebabkan mereka menjadi pemburu alam cinta serba baru, sehingga media elektronik juga media massa memainkan peranan yang mampu menyumbang sedikit sebanyak kepada aktiviti memburu cinta ini. Antaranya program realiti tv suatu ketika dulu pernah diterbitkan oleh sistem tv swasta yang bertajuk mencari cinta. Beberapa orang lelaki cuba untuk menawan hati hanya seorang gadis dan disokong oleh ahli keluarga, satu perkara yang penulis rasa tidak sepatutnya berlaku dan yang paling malang kesemua peserta adalah dari kalangan orang melayu yang beragama Islam. Kemudian remaja disogokkan lagi dengan sistem pesanan ringkas (sms) yang diiklankan dikaca televisyen. Sms on cinta misalnya, mencari kenalan baru, menghilangkan rasa kesunyiaan dan pelbagai lagi sebagai langkah mudah pihak tertentu mengaut keuntungan. Ini sangat bertentangan dengan seruan kerajaan yang cuba untuk mengurangkan masalah gejala sosial di kalangan remaja Malaysia selagi perkara-perkara yang menjadi punca kepada perlakuan zina tidak dihapuskan.

Penulis memohon hidayah daripada Allah s.w.t untuk meneruskan penulisan ini dalam mencari barakah dalam kehidupan. Mari kita sama- sama renung firman Allah dalam surah Al-Israa’ 17:32 yang bermaksud : “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk”. Cukup jelas ayat ini menceritakan kepada manusia yang waras akalnya supaya menjauhkan diri daripada perkara-perakara yang mampu memberi saham dalam perlakuan zina. Sesuatu perkara tidak akan berlaku jika tidak ada muqaddimahnya. Allah melarang kita menghampiri zini apatah lagi melakukannya. Namun, masyarakat sekarang telah buta hatinya dan melihat perkara ini tidak lagi releven pada zaman dunia tanpa sempadan ini. Apa yang mereka faham, zina itu apabila seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan mahram dan tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah berada dalam satu bilik dan satu selimut. Kemudian apabila ditangkap oleh pencegah maksiat baru terasa malu yang menebal sedangkan sebelum terjadinya perkara yang besar seperti itu perasaan malu terhadap Allah s.w.t sedikit pun tidak ada. Hanya itu sahaja jangkawan tahap pemikiran remaja-remaja melayu Islam sekarang. Wahai para pembaca sekalian! Mari kita renung sejenak betapa perancangan musuh Allah s.w.t terlalu halus dan licik malah telah berjaya menguasai serta merosakkan minda umat Islam kini.

Syeikh Muhammad Al-Ghazali ada menyatakan: “Andai kita sudah mengenali jenis penyakit yang dihadapi, masakan pula berlaku perbalahan cara mengubatinya di kalangan kita”. Ibarat jika kita sakit dan pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat, begitu juga perihalnya perbuatan menjauhkan diri daripada perlakuan zina. Cegah sebelum mudarat atau slogan yang biasa kita dengan di mana-mana klinik atau hospital sekalipun, mencegah lebih baik dari mengubati. Moga-moga Allah s.w.t memberi hidayah kepada para pembaca agar memahami tafsir ayat surah Al-Israa’ ini.

Terimbas semula kenangan penulis sewaktu masih bergelar mahasiswa di salah sebuah institusi pengajian tinggi di negeri Kelantan, berbagai ragam dan kerenah remaja yang mengekspresi perlakuan mereka terhadap persoalan mengenai cinta. Yang paling sedih orang yang bergelar tahfiz juga turut terlibat dalam jerangkap samar fitnah wanita atas nama cinta. Sehingga ada yang meng ‘halalkan’ bercouple. Al- maklumlah cinta Islamik lah katakan, atau dengan kata lain cinta anta anti. Kekadang terbit perasaan su’uzon ( buruk sangka) dalam hati terhadap syabab ( pemuda) yang bergelar tahfiz. Adakah mereka hanya menghafal Al-Quran tanpa mentaddabur ayat-ayat yang mereka hafal. Semoga Allah mengampuni dosa penulis atas keraguan hati yang dilintaskan oleh syaitan. Begitu licik perancangan musuh manusia yang satu ini, syaitan laknatullah dalam menjalankan gerak kerja yang sangat sempurna. Teringat penulis pada peristiwa yang pernah diceritakan seorang ustaz mengenai hamba Allah yang kuat amalannya serta kecintaannya terhadap Allah, seorang yang warak dan alim, tetapi Allah ingin menguji tahap keimanannya. Bagaimana Allah ingin mengujinya? Allah menguji hamba Allah itu dengan mendatangkan seorang pelacur kepadanya. Lalu pelacur tadi menawarkan perkhidmatannya, namun hamba Allah tadi menolak dengan mengatakan bahawa itu adalah dosa besar. Kemudian pelacur tadi mencuba lagi dengan menawarkan minuman keras kepadanya (arak). Pelacur tadi memujuk dengan menyuruh hamba Allah tadi hanya minum sedikit sahaja, katanya sedikit tidak mampu untuk memabukkan. Hamba Allah tadi berfikir sejenak, ada betulnya kata-kata pelacur tadi. Lalu dia mencuba sedikit kemudian dipujuk lagi supaya minum sedikit lagi lama kelamaan tanpa disedari olehnya, hamba Allah tadi telah meminum 5 gelas air syaitan (arak) lalu mabuk.

Seperti Hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud :1“Apa yang banyak memabukkan, maka sedikitnya adalah haram”

Kemungkinan lafaz zahir menunjukkan bahawa arak sahaja yang dimaksudkan oleh hadis ini. Namun menurut Muhammad Qutb penulis buku Hadis-hadis pilihan menyatakan bahawa kaedah syarak’ yang umum merangkumi larangan dan perkara yang diharamkan merangkumi arak dan riba, mencuri dan merampas, mencela dan memaki, mengumpat dan memfitnah, berbohong dan nifaq dan khusunya jenayah akhlak. Jika kita renung sejenak sedikit arak mungkin tidak memabukkan dan semua perkara jika sedikit tidak akan mendatangkan mudarat. Namun apakah mudarat dari seteguk arak yang diminum? Apakah pula mudarat dari pendustaan yang dilakukan dari masa ke semasa samada yang terang atau sembunyi? Apakah kesan akibat dari satu sen yang dicuri dari harta yang bertimbun? Apakah mudarat sekilas pandangan terhadap anak gadis? Atau perbualan ringkas hanya beberapa patah perkataan? Atau sedikit muqaddimah yang tidak sampai kepada perbuatan zina seperti ciuman, pelukan atau seumpanya? Dan apa mudaratnya menghantar sms (di antara lelaki dan perempuan) pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah langsung?

Apakah natijah yang akan diterima dari mudaratnya semua ini?

Menurut pengarang buku Hadis-hadis pilihan ini lagi, ia mungkin boleh di ibaratkan seperti jenayah yang tersembunyi, yang berlaku di dalam gelap yang tidak seorang pun mengetahui jenayah yang dilakukan dan tidak mendatangkan kesan dalam perjalanan kehidupan, namun persoalannya, adakah ia mampu menggugat dunia atau meruntuhkan akhlak? Jika kita mengambil sikap sambil lewa atau sekilas pandang sahaja mungkin perkara sebegini tidak mendatangkan apa-apa kesan yang berat.

Penulis ingin mengajak pembaca sekalian berfikiran menggunakan hati yang berlandaskan iman….jika difikir jauh ia adalah sesuatu hikmah yang tinggi diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w, pengetahuan yang halus dan jauh tentang jiwa manusia yang bukan setakat peribadi seseorang atau generasi yang bakal ditinggalkan. Pandangan yang memerlukan pada penilaian iman, mengambil kira pandangan masyarakat dan manusia secara keseluruhan juzuknya juga mengambil kira cara kefahaman yang diterima samada fakih atau faham. Sabda Rasulullah s.a.w :

"الناس معادن خيارهم في الجاهلية خيارهم في الاسلام اذا فقهوا"

yang bermaksud : “ Manusia ibarat seperti logam, sebaik-baik mereka atau yang terpilih daripada mereka semasa jahiliah juga mereka yang terpilih semasa Islam dengan syarat faham”

Dalam bahasa Arab, jika huruf ف berbaris di atas ia memberi makna faham dan jika berbaris bawah ia memberi makna fakih. Fakih lebih terfokus kepada seseorang yang tahu tentang hokum, tetapi faham lebih memfokuskan kepada kefaham yang jelas tentang Islam yang sebenar. Jika hendak dikaji, zaman sekarang ramai orang fakih tetapi tidak faham. Apa bezanya fakih dan faham?. Penulis akan memberikan contoh mudah untuk para pembaca memahami perbezaan di antara fakih dan faham. Contohnya seperti seseorang yang belajar fekah bab penutupan aurat misalnya tetapi masih lagi tidak memakai pakaian yang menutup aurat ataupun penutupan aurat yang tidak sempurna dengan alasan dunia kini globalisasi dan perlu mengikut fesyen terkini agar tidak dikatakan ketinggalan zaman. Sama juga dengan halnya orang kafir yang mengkaji tentang Al-Quran tetapi tidak mengambil pengajaran. Mereka fakih tentang Islam tetapi tidak faham tentang Islam. Jika mereka faham mengenai apa yang mereka kaji pasti mampu merubah diri mereka untuk menjadi seorang hamba yang betul-betul beriman. Apa yang penulis bincangkan adalah bertujuan untuk memberi gambaran yang jelas tentang permasalahan yang sedang dibincangkan. Cuba pembaca sekalian fikirkan, mengapa perkara ini terjadi? Jawapannya kerana mereka hanya fakih ( mengetahui sesuatu hukum) tetapi tidak faham sesuatu hukum. Ramai orang-orang yang seperti ini terdapat di sekeliling kita dan mungkin boleh membawa pada mudarat yang besar pada suatu masa nanti.

Mari kita muhasabah diri sebentar, Allah telah menciptakan akal dan hati. Namun adakah pembaca sekalian mengetahui apa tugas sebenar hati dan akal? Dan apa kaitannya dengan perbincangan ini? Kedua-dua perkara ini saling kait mengait antara satu dengan yang lain. Kita kembali pada persoalan fakih dan faham. Untuk lebih jelas lagi, yang dikatakan fakih (faham terhadap sesuatu hukum) itu adalah mengetahui atau memahaminya menggunakan akal semata-mata, manakala faham pula lebih kepada menerima sesuatu itu sehingga menyentuh naluri hati yang bersih. Walaubagaimanapun kedua-duanya memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk kefahaman, Contohnya mata melihat kebesaran Allah, kemudian akal berfikir, itu adalah ciptaan Allah namun bila ditambah lagi dengan menerima dengan hati kita akan merasakan betapa kerdilnya diri kita dan betapa Allah berkuasa terhadap seluruh makhluknya lalu menambahkan lagi ketaatan hambanya kepada pencipta.

Atas hujah inilah mengapa penulis mengatakan bahawa pandangan hati adalah dengan mengetahui dan menembusi sehingga ke dasar Islam. Dengan itu ia mengambil ilham dari rohnya yang dalam lagi bersih. Dengan pandangan hati tersebut juga dapat membuka kunci-kunci pintu hikmah dan membongkar segala rahsia yang tersembunyi. Hikmah Allah mengutuskan nabi Muhammad s.a.w. adalah kerana baginda mempunyai hati yang sangat bersih tanpa sebarang kekotoran, bagindalah lebih layak mengetahui roh Islam yang suci bersih dan menterjemahkannya secara praktikal. Jika kita selidik jasad yang Allah ciptakan untuk kita sebagai manusia sangat sempurna, pasti akan ada akal dan hati. Tidak ada seorang manusia pun yang dicipta tidak mempunyai akal dan hati. Sudah menjadi kemestian kita patut bersyukur dengan nikmat yang diberi tetapi hakikat yang dapat kita lihat manusia kini sombong dan angkuh serta sedikit rasa bersyukurnya. Seperti firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 23 yang bermaksud:

“ Katakanlah (wahai Muhammad); “ Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”

Apa akan terjadi sesuatu perkara yang bermula dengan sedikit? Jawapannya adalah ketagihan. Banyak kita baca di dada-dada akhbar mengenai cara penagih-penagih dadah terlibat dengan dengan dadah, kebanyakkan mereka terlibat bermula dengan perasaan ingin mencuba, bermula dengan sedikit, lama-kelamaan penagih dadah tadi merasakan seperti orang yang sakit jika tidak mengambil dadah walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Begitu juga ibaratnya arak atau apa-apa sahaja perkara kerana muqaddimahnya adalah bermula dari yang sedikit. Apabila mula ketagih, tidakkah perkara itu akan mendatangkan kerosakkan pada masa akan datang? Jika jawapan pembaca tidak, penulis ingin bertanya.. mengapa terlalu banyak pusat-pusat serenti di Negara kita jika kerana tidak ramainya penagih-penagih dadah yang ketagih? Begitulah misal mudah yang penulis boleh beri.

Kemudian apa kisah selanjutnya mengenai sang abid dengan seorang pelacur tadi? Pelacur tadi mengajak hamba Allah ke kamarnya. Maka terjadilah apa yang hendak terjadi. Akhirnya terjerumus juga hamba Allah tadi ke lembah maksiat yang paling besar. Mengapa penulis mengambil cerita ini sebagai contoh? Jawapannya mudah, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyedarkan para remaja sekalian dengan cara dan pendekatan yang sangat mudah tentang peringatan yang Allah telah berikan melalui surah Al-Israa’ 17:32. Perkara-perkara yang membawa kepada zina perlu dihindari dan dijauhi segera agar tidak mendapat nasib yang sama seperti cerita seorang abid tadi. Malah abid tadi menemui ajalnya pada malam itu juga dengan keadaan tubuh yang tidak dapat dipisahkan. Segala-galanya hanya bermula dengan arak yang sedikit, Nauzubillahiminzalik moga-moga Allah memelihara iman kita dan mematikan kita dalam keadaan yang beriman kepadanya. Ya Allah ya tuhanku, matikanlah kami dalam keadaan beriman dan tetapkanlah hati kami pada ad-din mu ya Ar-Hamarrahimin.. Amin!.

Berbicara tentang remaja, siapa sebenarnya remaja? Remaja menurut psikologi adalah individu yang berumur antara 12 tahun hingga 21 tahun. Pada usia ini, remaja lebih cenderung untuk mencuba sesuatu perkara yang mereka anggap mencabar kewibawaan seorang remaja yang berdarah muda. Remaja merupakan golongan yang sangat sensitif dan perlu melalui proses pembelajaran hari demi hari untuk mematangkan diri. Remaja akan melalui proses pembelajaran melalui persekitaran, keluarga, media massa, media cetak, pergaulan dengan rakan sebaya dan sebagainya.

Walaubagaimanapun insitusi kekeluargaan memainkan peranan yang paling penting selain keadaan persekitaran yang mampu mempengaruhi pertumbuhan fizikal dan rohani seseorang remaja agar tidak terpesong aktiviti sosial mereka. Rata-rata remaja yang diajukan mengenai persolan cinta pasti akan tersenyum, tidak kira samada remaja yang mempunyai persekitaran pembelajaran melalui aliran agama atau tidak, yang terlibat dengan aktiviti dakwah atau tidak, tidak kira remaja itu berbangsa apa sekalipun samada cina, India atau melayu pasti tidak akan terlepas dari perasaan CINTA. Apabila kita memperkatakan tentang soal cinta, pasti akan ada hati yang berbunga mengenangkan keindahan apabila disayangi dan dikasihi.

Apa itu cinta sebenarnya?. Ada berbagai jenis cinta. Seperti yang kita sedia maklum, ada orang berpendapat cinta sewaktu dibangku sekolah hanya cinta monyet. Ada pula yang mengatakan ianya cinta sejati atau cinta pandang pertama dan sebagainya. Namun menurut definisi penulis sendiri cinta yang tidak diletakkan ditempat yang betul pasti akan ada kepincangan yang akan berlaku atau dengan kata lain cinta yang bersifat candu. Cinta yang bersifat candu adalah seperti cinta di televisyen atau dalam lirik-lirik lagu cinta dan filem-filem dan sebagainya. Sebenarnya masyarakat kita sudah dikelirukan terutama bangsa melayu Islam tentang persoalan cinta.

Akibat terjebak dengan pemikiran yang keliru inilah sampai ada yang sanggup membunuh diri kerana terlalu extream dengan cinta seperti yang terdapat dalam filem-flem Hindustan. Malah masyarakat menganggap ianya sebagai cinta yang sejati kerana sanggup berkorban demi cinta walaupun nyawa yang jadi tukaran, dan masyarakat menilainya sebagai cinta yang sejati. Oleh kerana itu mengapa adanya istilah ‘I jump you jump’ . Sebenarnya pemikiran orang Islam diserang secara halus tanpa sedikit pun kita semua sedar. Ia merupakan salah satu agenda untuk menghancurkan umat Islam dan menjauhkan umat Islam daripada konsep sebenar cinta dalam Islam selain cuba untuk menjauhkan umat Islam dari berpegang teguh kepada Al-Quran.

Jika kita singkap sejarah umat Islam yang telah lalu, kaum yahudi tidak akan bersenang hati dengan umat Islam. Mereka pernah menggunakan kekerasan namun tidak berkesan. Umat Islam menjadi bertambah kuat apabila mereka (yahudi) memerangi umat Islam menggunakan kekerasan. Namun pelbagai cara dan kaedah kaum yahudi cuba lakukan untuk menjatuhkan umat Islam dan mereka (yahudi) melakukan pengkajian yang amat mendalam dan serius, kemudian mendapati bahawa selagi umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran, selagi itulah mereka tidak dapat memerangi umat Islam. Seperti yang Allah telah rakamkan dalam kitab suci Al-Quran dalam surah Fushshilat 41: 26 yang bermaksud :Dan orang-orang yang kafir berkata: “janganlah kamu mendengar dengan bersungguh-sungguh akan Al-Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka)” . Sudah jelas Al-Quran menceritakan niat jahat orang kafir terhadap Islam. Oleh kerana itu mereka (yahudi) cuba menyerang umat Islam dari pelbagai sudut antaranya pendidikan, ekonomi, kesihatan, politik, sosial dan sebagainya dengan cara yang amat halus.

Dalam surah Al-An’aam 6:26 pula menceritakan tentang betapa orang kafir membenci Al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka melarang (orang lain) mendengarkan Al- Quran dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya, dan mereka hanyalah membinasakan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedari”.

Cinta dan kasih sayang sememangnya fitrah manusia secara semulajadi dalam kehidupan sehari-hari. Islam memandang luas skop cinta, namun fikiran umat Islam kebanyakkannya telah di sempitkan dan disogokkan dengan cinta hanya diantara seorang lelaki dengan seorang perempuan, jika ada Romeo pasti ada Juliet, Ude dengan Dara, Qais yang sanggup menjadi majnun (gila) kerana dipaksa berpisah dengan Laila, Cleopatra sanggup menggadaikan nyawanya untuk kekasih tercinta Mark Anthony dan ramai lagi.

Ini adalah contoh propaganda barat untuk merosakkan pemikiran umat Islam dengan kisah cinta rekaan, namun realitinya tidak kurang hebatnya.

Cinta menurut kamus bahasa Inggeris (Oxford) adalah sexs relation ship. Dari defnisi yang diberikan jelas menunjukkan bahawa cinta lahir dari naluri seks, ghairah dan sebagainya. Definisi yang diberikan oleh sarjana muda Islam melalui kamus arab mengatakan cinta akan lahir dari fitrah yang dicari dalam kehidupan. Islam sebenarnya memandang jauh tentang cinta bukan hanya setakat cinta sesama manusia malah cinta yang utama adalah cinta pada Tuhan maha pencipta sekian alam.

Berbalik kepada perbincangan asal kita mengenai remaja dan cinta. Pada hemat penulis, cinta boleh di ibaratkan seperti alkohol atau arak, cuba sekali pasti nak lagi, namun apabila sudah mabuk pasti tidak akan sedarkan diri. Remaja atau sesiapa sahaja pasti melihat cinta itu perlu diakhiri dengan pengorbanan. Lihat sahaja pasangan yang mengemis cinta yang sanggup menggadai maruah diri untuk menunjukkan betapa tingginya cinta terhadap kekasih hati lalu menagih pengorbanan yang besar buat diri seorang gadis.

Apabila seorang anak gadis atau seorang anak teruna berbicara mengenai cinta, apa yang mereka faham cinta itu adalah saling kasih mengasihi, ambil berat terhadap pasangan, sebagai penguat semangat untuk belajar, sebagai tempat mengadu masalah, teman untuk belajar dan macam-macam lagi. Namun remaja-remaja kini lelaki mahupun perempuan telah buta mata hatinya tentang cinta yang hakiki. Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya dicuba dengan mainan hawa nafsu yang jahat dan buas ibarat lautan yang bergelombang begitu kuat atau dengan kata lain ibarat tsunami yang mampu memusnahkan Aceh pada suatu ketika dahulu. Salah satu cubaan dan godaan hawa nafsu itu adalah mainan cinta. Tidak sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini…..

Oleh itu penulis ingin berpesan pada diri sendiri khasnya dan pada pembaca-pembaca blog penulis amnya…andai satu hari nanti kita di uji dititik terlemah maka dekatkanlah diri dengan Allah, tambahan ujian yang diberi adalah ujian yang berkaitan dengan hati…sangat payah untuk menghadapinya..tapi percayalah firman Allah dalam surat cintanya Al-Baqarah:126. Itulah ayat yang penulis taddabur dalam-dalam maknanya sebagai ubat kepada ‘kepasrahan hati’ untuk melupakan apa yang sepatutnya tidak berhak untuk penulis harapkan…

Hati adalah anugerah allah kepada manusia paling besar. Dengan hatilah
adanya kasih sayang dan keharmonian dalam hidup. Apabila seseorang
yang tidak mempunyai hati, ia akan sanggup memusnahkan apa sahaja
asalkan berasa puas hati...Emh.. .dalam melakukan kejahatan pun hati
masih lagi berfungsi memainkan peranannya.. Apabila hati boleh
berfungsi untuk kejahatan dan kebaikan mungkin kerana itu allah
tiupkan keimanan didalam hati setiap mukmin.Iman itu adalah panduan
hati ..bak cakap2 orang ikut hati mati...tapi bagaimana mana dengan
gerak hati??? emmh...sangat rumit apabila hati mula berbicara...

Hati ini urusan allah...mulut mungkin mampu untuk berbohong tapi tidak
hati...apabila hati itu bersih maka kebaikan akan terpancar tapi jika
hati itu kotor maka keburukkan akan menggantikannya. ..sebab itulah
adanya istilah sakit hati, jauh hati, suka hati, jatuh hati, sedih
hati dan macam-macam lagilah...rumitnya bila hati berbicara... .

Ada orang puaskan hati dengan melepaskan kemarahan... itu cara orang
yang nipis imannya...dan ada orang melepaskan sesuatu yang terpendam
dihati dengan menangis...emh. ..menangis. ..entahlah. ..hanya allah yang
mengetahui apabila hati berbicara... kerana hati itu urusan allah dan
kita kembalikan kepada allah...apabila keikhlasan yang
diberi...keiklasan juga yang akan diterima..sangat rumit apabila hati
berbicara... .

Jadi marilah kita sama2 menjaga hati agar tidak lalai dari mengingati
allah...rumitnya apabila hati berbicara..kerana ia adalah sebahagian
daripada kehidupan... kehidupan itu adalah satu dugaan, sekuat mana pun
dugaan yang kita hadapi..sekukuh apa pun cubaan yang harus kita
jalani, sebesar mana pun kegagalan yang kita rasai, sejenuh mana pun
hari-hari yang dilalui jangan pernah berhenti berharap pada
pertolongan ilahi...jangan pernah berhenti berdoa kepada RABB kerana
harapan adalah masa hadapan kerana harapan adalah sumber kekuatan,
kerana DOA adalah pintu kebaikan dan kerana DOA adalah senjata orang
yang beriman...rumitnya apabila hati berbicara.

Namun apabila kita memandang segalanya daripada tuhan, yang mencipta
segalanya,yang menimpakan ujian yang menjadikan sakit hati, yang
membuat keinginan terhalang dan menyusahkan hidup, pasti akan damailah
hati kerana masakan DIA sengaja mentakdirkan segala sesuatu yang
sia-sia...bukan DIA tidak tahu derita hidupmu,retaknya hatimu, tapi
mungkin itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu hati yang sebegini yang
selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab
dengannya... Insyaallah. ..rumitnya bila hati berbicara..

Marilah kita berdoa..."Ya Rabb, aku memohon pimpinanmu untuk
menjinakkan hati ini dalam melaksanakan ibadah dan menggali khazanah
kitab sucimu dibawah redup payungmu ya allah...moga ibadahku mampu
memberi cahaya pada hati dan kitab sucimu dapat ku baca serta kuhayati
untuk tambah dekat denganmu agar tidak terkesan ujian hati yang sedang
kau berikan kepadaku...ya allah berikanlah cintamu kepadaku,
jadikanlah orang yang mencintaimu mencintaiku dan jadikanlah aku
mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan kepadamu ya
RABB...ya allah pilihlah untukku sesuatu yang ada padanya kebaikan dan
keelokkan pada urusan agamaku dan duniaku,...dengan rahmatmu wahai
tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang... wahai tuhan sekelian
alam perkenankanlah doaku...amen ya rabbal a'lamen.." serahkan
segalanya kepada allah setelah berusaha kemudian bertawakkal dan redha
akan natijah yang akan diterima kelak..sangat rumit kan apabila hati
sudah berbicara..

No comments: