Friday, January 29, 2010

Syurga vs Reda Allah


بسم الله الرحمن الرحيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana masih memberi peluang untuk menambah amal ibadah, supaya ibadah kita dalam apa jua perkara hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda..santai minda koreksi diri muhasabah amal, tingkatkan prestasi ibadah agar kecemerlangan yang dikecapi seiring dengan reda Allah SWT.

Sudah namanya manusia perlu sentiasa diberi peringatan. Kejayaan, kecemerlangan, kekayaan atau kesenangan yang anda kecapi TANPA reda Allah SWT adalah sia-sia semuanya.Sekadar sebagai santai minda, refresh iman muhasabah amal.Entri kali ini mengenai ibadah kita kepada Allah SWT..antara mengejar syurga Allah dan reda Allah, mana yang lebih utama?(hah! jawab2..)


Persoalan yang sangat menarik penulis kira. Persoalan antara mengejar syurga Allah dan reda Allah adalah sesuatu yang mampu membuka minda kita di mana kita letakkan keutamaan dalam amal ibadah kita selama ini. Adakah untuk mengejar syurga Allah semata-mata kerana kita percaya dan yakin bahawa balasan yang akan kita terima di akhirat nanti adalah syurga. Bagaimana untuk mendapatkan syurga? sudah tentu dengan 'berkelakuan baik' di dunia.Persoalannya salah kah kita melakukan sesuatu dengan harapan mendapat syurga Allah dan kita beranggapan bahawa kita turut mencari reda Allah?

Pasti ada yang memberi jawapan, apabila kita mengharapkan syurga Allah kita sebenarnya mencari reda Allah.Sedangkan sahabat-sahabat Nabi dahulu juga dihidangkan dengan keindahan syurga dalam mereka berjihad menegakkan Islam.Adakah salah? sudah tentu tidak.Akan tetapi sahabat-sahabat nabi berlumba-lumba mengejar 'syurga' Allah bukanlah kerana keindahan syurga itu tetapi kerana rindunya mereka untuk melihat 'wajah' Allah. Itu perkara yang berbeza. Rasa rindu dan lazatnya untuk bertemu
Allah adalah bersamaan dengan mencari reda Allah.

Baik, penulis beri analogi yang mudah.Apabila kita mahu mengajar anak yang masih kecil berpuasa pasti kita sediakan ganjaran bukan? seperti hadiah atau wang tunai yang sekian jumlahnya sekiranya anak tadi boleh berpuasa penuh untuk satu hari.Sekiranya kita ingin memujuk anak untuk pergi ke sekolah kita akan menjanjikan hadiah sekiranya dia berkelakuan baik di sekolah.Orang dewasa yang bekerja juga pasti akan meningkatkan prestasi kerjanya jika bos memberi imbuhan kepada pekerja tersebut.Pendek kata manusia perlu diberi PENEGUHAN untuk merangsang melakukan sesuatu perkara.Adakah pembaca setuju?

Begitu juga kita. Dalam peringkat mengenal Allah pasti kita melihat ganjaran-ganjaran yang akan diterima seperti syurga. Baik, kita berbalik kepada mengajar anak berpuasa tadi,sewaktu kecil jika anak tadi mampu berpuasa sehari penuh akan di beri ganjaran berupa duit,adakah apabila sudah besar panjang atau dengan istilah lain dewasa/belia masih perlu di beri ganjaran duit sekiranya boleh berpuasa penuh? Kelakar bunyinya bukan.Tak selama-lamanya amalan berpuasa yang kita lakukan semata-mata untuk mendapat ganjaran duit,kerana kita tahu itu kewajipan kita. Kenapa dikatakan ia sebagai kewajipan kita? Kerana itu perintah Allah.Kenapa itu perintah Allah? Kerana ganjaran syurga bagi mereka yang melaksanakannya.Sahabat sekalian, ini adalah tahap harapan dalam ibadah orang yang awam.Orang awam bermaksud orang yang baru mencari atau orang yang baru mahu mengenal tuhan.Persoalan, adakah kita mahu amal ibadah kita sentiasa duduk ditahap orang awam? Penulis huraikan dalam bentuk soal jawab agar pembaca jelas mengenai perkara yang penulis cuba sampaikan.

Soalan: Kenapa ramai remaja, orang dewasa atau yang dah tua bangka di luar sana yang masih tidak berpuasa dan tidak malu untuk makan dihadapan khalayak ramai? Sedangkan itu adalah kewajipan sebagai umat Islam dan salah satu rukun Islam.Adakah tidak sempurna rukun Islam mereka?

Jawapan: Kerana mereka tidak 'dilatih' untuk mencintai ibadah berpuasa itu. Begitu juga dengan sembahyang yang lima waktu.Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lainnya sehingga ke hal pentadbiran negara. Pendek kata mereka tidak mengenal diri mereka.Diri sendiri tidak kenal masakan boleh mengenal 'tuan' yang mencipta empunya diri.Apabila ada sesuatu perkara yang kita cintai,pasti kita akan melakukan sepenuh hati kita. Setuju?

Soalan:Jika begitu,adakah salah kita mencintai syurga Allah lalu kita menunaikan segala yang telah Allah perintahkan?

Jawapan:Nah! jawapan ada pada soalan yang ditanya. Mencintai syurga Allah dan mencintai Allah adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Soalan:Apa bezanya?

Jawapan:Syurga itu sebagai perangsang motivasi diri manusia untuk beramal ibadah.Jadi, tidak salah jika kita beramal untuk meraih syurga Allah.Tetapi jika hal ini dibahaskan oleh 'orang-orang makrifat', mereka melihat ianya sebagai syirik. Syirik yang halus kepada Allah swt. Kerana apa dikatakan syirik yang halus? Kerana amal ibadah di lakukan kerana cintakan syurganya bukan cintakan 'tuan' yang menciptakan syurga.Manusia dan syurga adalah 'perkara' yang Allah ciptakan.Persoalannya, wajarkah kita mencintai perkara yang sama-sama diciptakan oleh-Nya? Inilah perbahasan yang sering dibahaskan.Kenali dirimu nescaya kamu akan mengenal tuhanmu. Mudah bukan? Tetapi ramai yang gagal.Perhatikan alam kejadian pasti kamu mengenal tuhanmu. Ramai yang tahu akan hal ini tetapi sengaja ambil sikap tidak mahu tahu kerana larut dengan permainan duniawi yang melekakan lagi menyesatkan.

Oleh kerana itu kita disaran untuk muhasabah diri selalu,duduk berfikir, renung sedalam-dalamnya adakah benar-benar kita mencintai Allah SWT? atau hanya mengharap syurga Allah semata.Oleh kerana itu jika kita dalami benar-benar bacaan dalam setiap pergerakkan solat kita ia mampu menjadikan kita seorang hamba Allah yang sebenar-benar hamba Allah.Sesungguhnya ibadahku,hidupku dan matiku hanya kerana Allah.Tidak ada di situ ikrar kita sewaktu mula-mula mengangkat takbir mengatakan bahawa ibadahku,hidupku dan matiku hanya kerana mengharapkan syurga Allah. Nah! jelas sekarang bukan? Solat kita telah memberi jawapan pada persoalan di atas antara mencari syurga Allah dan reda Allah mana yang lebih utama.

Fikir-fikirkan, renungkan,sekadar santai minda,muhasabah amal,refresh iman sebagai cara untuk mengkoreksi diri menjadi hamba Allah yang sebenar-benar hamba.Wallahu a'alam...

3 comments:

Muhammad Ibnu Nazir said...

Salam, Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Penguraian dan penulisan yang berkesan, bertepatan dengan kata-kata Huqamah dari Radiatul Adawiah iaitu : "Ya Allah, jika syurga itu adalah tempat terakhirku, maka murkalah terhadapku dan campakkanlah daku ke dalam neraka-Mu. Kerana sesungguhnya ibadahku ini adalah kerana-Mu, bukan mengharap balasan syurga-Mu"

Semoga kita semua renungi niat sebenar yang telah kita lafazkan sebelum ini. WaAllahua'lam.

saniah hj ahmad said...

wslm...Bismillahirrahmanirrahim..

Sedikit penambahan daripada huraian di atas..itulah yang di namakan sebagai ilmu IKHLAS...
Ikhlas ini analoginya seperti proses penyulingan air,mengasingkan benda-benda asing daripada satu tahap ke satu tahap,agar akhir sekali air bersih yang kita akan perolehi. Begitu juga halnya dengan keikhlas...mencari sesuatu atau melakukan sesuatu hanya kerana Allah.Dalam proses melakukan sesuatu hanya kerana Allah, satu persatu 'kekotoran' yang ada perlu dibersihkan...selanjutnya renung dan tenung...wallahu a'lam.

Anonymous said...

Salam...hanya ingin memberi pendapat..
Allah itu adalah yang menciptakan kita..dan syurga itu adalah ciptaan Allah..manusia juga adalah ciptaan Allah..
Bagaimana kita sebagai hamba Allah beribadah hanya kerana ingin mendapatkan syurga iaitu satu ciptaan Allah? sedangkan untuk ke syurga perlukan redha dan rahmat dari Allah...
Hala tuju dan matlamat kita sbg manusia hanya 1..untuk Allah, hanya redha yang kita tuntut..

maaf jika ada salah silap..yang baik datang dari Allah dan yang buruk dari saya sendiri...salam...