Tuesday, September 8, 2009

Musafirku Dibulan Ramadhan


Bismillah, Alhamdulillah, Allahuakbar...
Assalamualaikum w.b.t.... (bagi salam ala-ala Haji Mustafa)

3 hari lepas Allah izinkan penulis untuk bermusafir ke negeri yang banyak meninggalkan kenangan kepada penulis iaitu Kelantan. Ada tujuan dan niat yang besar sebenarnya kedatangan penulis ke Kelantan. Kerana ingin menjaga kekuatan ukhuwah penulis dengan seseorang (akhawat) yang penulis sayangi dan hormati. Bukan dengan 'si dia' seorang sahaja, tetapi juga akhawat yang lain. Misi utamanya adalah 'ukhuwah'. Selain itu, apa yang ingin penulis kongsikan di sini ialah nikmat dan indahnya bermusafir ketika bulan ramadhan. Ramadhan mendidik manusia untuk lebih bertaqwa seperti yang telah dirakamkan dalam surah Al-Baqarah :183,

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Ada satu perbezaan yang sangat besar apabila bermusafir dalam bulan ramadhan iaitu solat. Jika bukan di dalam bulan ramadhan kebisaannya bas akan berhenti berehat untuk makan tengah hari dan solat. Malangnya kebanyakan penumpang hanya akan turun untuk makan sahaja tetapi tidak untuk solat, selepas selesai makan terus naik ke atas bas.

Berbeza dengan bulan ramadhan. Dah namanya pun bulan ramadhan mestilah bas berhenti untuk solat, satu perkara yang mengembirakan hati penulis adalah apabila ramai penumpang yang turun untuk solat jamak..masa nilah baru nak tanya macam mana niat solat jamak. Macam-macam manusia ni. Semoga turunnya mereka dari bas untuk tunaikan solat adalah dari hati yang ikhlas untuk beribadah kepada Allah sebagai tanda ketundukkan hati bukan kerana malu kepada manusia.

Bertepatan dengan huraian ayat di atas maksud “Supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halal pun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.

Begitulah betapa besarnya hikmah menunaikan solat lebih-lebih lagi kelazatan beribadah itu dilakukan di dalam bulan ramadhan ini. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”

(Shahih Ibnu Khuzaimah)

Suasa di Kelantan sangat berbeza. Sudah banyak pembangunan yang penulis dapati di negeri serambi Mekah ini. Kadang-kadang keresahan diri mula datang menyerang. Apakah ini sebahagian daripada perancangan musuh-musuh Allah untuk melalaikan manusia. Yang terbaru pembina bangunan pasaraya yang hampir siap di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Hampir saja penulis tidak dapat mengecam jalan-jalan di tengah-tengah bandar ini kerana sudah banyak yang berubah. Mungkin 2 tahun berikutnya akan hilang 'peta jalan' Kelantan dari minda penulis kerana perubahan demi perubahan dijayakan.

Benarlah kata setengah orang, negeri Kelantan adalah 'syurga membeli belah'. Macam-macam ada, semuanya ada. Semoga pembangunan demi pembangunan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini tidak melalaikan masyarakat negeri Kelantan khusunya. Semoga ramadhan kali ini adalah yang terbaik. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

p/s: kenangan sepanjang perjalanan penulis sebagai seorang musafir kali ini adalah pada waktu berbuka, apabila terpaksa berbuka dengan kueh akok sahaja di dalam kereta kerana dalam perjalanan untuk menziarahi akhwat fillah di kelantan selain menziarahi orang-orang yang masih setia berkhidmat di Kolej Jamiah Islamiah Putra esok harinya.

No comments: