Thursday, February 4, 2010

Jom..Kita Perangi ia...


بسم الله الرحمن الرحيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Syukur kepada Allah SWT dengan ilmu yang telah dikurniakan kepada kita, dan masih memberi izin kepada kita semua untuk mencari Dia Yang Maha Menguasai. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda. Entri kali ini sekadar perkongsian bersama dalam proses kita 'membersihkan diri' dari sifat-sifat yang tercela.Alhamdulillah minggu lepas penulis pulang ke kampung untuk menziarahi ayah dan bonda tercinta.Cuti yang di manfaatkan dengan bermuzakarah dengan ayah penulis sendiri.Ayah adalah antara murabbi yang banyak membimbingku untuk menjadi manusia yang sebenar-benar manusia.Setiap butir mutiara ilmu yang keluar daripadanya amat bermakna buat penulis.

Suka untuk penulis berkongsi ilmu hasil muzakarah penulis bersama ayah. Entri lepas penulis membawa pembaca sekalian untuk mengenali nafsu yang 7. Nafsu yang selama ini kita tidak tahu perjalanannya dalam merosakkan manusia. Oleh kerana itu kita di saran untuk mencari ilmu. Kerana ilmu itu cahaya..cahaya menuju ke jalan yang lurus.

Dalam bacaan Al-Fatihah kita..bagaimana kita benar-benar menghayati maknanya.."tunjukkanlah kami jalan lurus". Dalami benar-benar apa maksudnya, mohon pada Allah SWT supaya di bukakan hijab hati untuk memahaminya. Untuk 'hijab' hati itu terbuka perlulah kita 'menyucikan' diri dan hati kita..dengan salah satu caranya adalah dengan mengenal nafsu sendiri. Oleh kerana itu entri ini berkaitan dengan hati pula.

Rasanya jika anda search dalam internet perkataan yang berkaitan hati pasti pelbagai coretan mengenainya akan anda dapati. Jadi penulis akan cuba sampaikan dari hati penulis supaya ia juga turut sampai menyentuh hati pembaca...berikan hati anda semua pada penulis...bacalah dengan hati..jangan baca dengan akal..kerana sesuatu yang disampaikan melalui hati akan sampai ke hati..(tak gitu semua?)

Tiga jenis hati bentuk peribadi manusia.

Perkembangan jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati. Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurnian ubudiyahnya (rasa hamba) meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT.

Bagi hati yang keji dan mati (qalbun mayyit)pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya. Di antara kedua-dua jenis hati itu,ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit)yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan desakan hawa nafsu.

Bagi penulis ringkaskan hati yang 3 tadi:
1)Qalbun Sahih
2)Qalbun Mayyit
3)Qalbun Maridh

Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud :"Kemudian kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata" (surah Fathir:32)

Berdasarkan ayat ini. Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan:

1)Golongan Zhalimun Linafsih iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan atau larangan)serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).

2)Golongan Mukhtasid iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi larangan-Nya.

3)Golongan Sabiqun Bil-Khairat iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya melakukan dan mengerjakan kewajipan, sebaliknya melakukan perintah (suruhan dan larangan)serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.

Sayid Sabiq pula membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.

Seperti yang telah penulis hurai pada entri yang lepas mengenai nafsu yang 7, nah! ini dia keterkaitan perbincangan kita.Mari kita refresh kembali, nafsu lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal soleh serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.

Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan yang paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan amal soleh.
Menurut Imam al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiyah al-nafs)untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperolehi melalui jalan ilmu dan amal. Tazkiyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebaskan (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji)mengisi (menghiasi)jiwa dengan sifat mahmudah(mulia)

Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamal dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata.

Sesungguhnya kesejahteraan,kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dengan 2 ilham.Ilham yang berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk taqwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.

Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud:"Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal)jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawa kepada bertaqwa.
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat jiwanya" (surah Asy-Syams :7-10)..Allahu akhbar!!!

Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik san sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata 'sadr'yang bererti 'dada' untuk menggambarkan suasana hati (jiwa).Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.

"Perang batin" ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyakinan (akidah/keimanan)yang teguh."Perang batin" ini dapat dirasai ketika manusia hendak melakukan ibadah seperti solat,puasa, zakat, berjihad (jihad hawa nafsu terutamanya) dan sebagainya.Untuk mencapai keyakinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksankan oleh manusia dan inilah yang sering di sebut sebagai "jihad yang besar".

Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan)mengenal Allah SWT. Qalbu(hati)perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat amat jelas, jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya dan jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.

Sebuah hadis nabi bermaksud:"Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila rosak (keji) maka rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati"
(Muttafaqun 'Alaih)

Dalam masyarakat melayu sering kita mendengar ungkapan 'hati iblis','hati yahudi','hati malaikat' dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya.Hati yang kotor 'keji' akan menjadi hijab/penghalang kepada Nur Allah SWT.

Qalbu(hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya)kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi uda lil muttaqin ( petunjuk kepada hati yang bertaqwa). Justeru itu, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadah yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabi'in.

Al-Quran menegaskan dalam surah Al-kahfi yang bermaksud:"Dan jadikanlah diri-mu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam Al-Quran, serta menurut nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran"

Hawa adalah kecenderungan nafs kepada syahwat. Ia adalah ciri tingkah laku negatif yang merosakkan kehidupan manusia. ia menyukai, menyenangi dan merindui terhadap perkara yang dihajati atau dikehendaki oleh syahwah.

Syahwah adalah kalimah (perkataan) dalam Al-Quran yang menggambarkan keinginan insan terhadap keseronokan, kelazatan dan kesenangan (rujuk surah Maryam:4). Ia juga bermaksud fikiran tertentu yang cenderung ke arah melakukan kejahatan dan penyelewengan (sila rujuk An-Nisaa:27)dan syahwah juga bermaksud perilaku terhadap seks (rujuk An-Naml:55)

Untuk mencapai kedamaian, kebahagiaan dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.Wallahu a'lam.

p/s:semoga hari ini lebih baik dari semalam...jom kita perangi ia..hawa nafsu kita..jihad yang paling besar..takbir!!!

1 comment:

Muhammad Ibnu Nazir said...

Salam. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah, Syukran Jazzilan, melebarkan artikel yang menarik dan ilmiah bertepatan dengan pencaturan kehidupan manusia dekad kini. Olahan yang menarik untuk terapi minda dan hati, bertepatan dengan Kalam-Nya dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Ahli Tasawuf juga ada memberi garis panduan kepada kita agar menjaga persekitaran organ anggota tubuh kita supaya tidak digunapakaikan pada pekara-pekara kebathilan dan kemaksiatan. Semoga kesinambungan komentar saya ini menjadi satu rujukan dan pedoman untuk sama-sama kita kelolakan sebaik mungkin. InsyaAllah.

Ada tujuh pekara untuk manusia menjaga agar segala kemaksiatan itu tidak akan berlaku jika teguh dan utuhnya Iman dan Taqwa kita terhadap-Nya. InsyaAllah.

1) Jaga 'Mata' agar tidak melihat pekara-pekara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t.

2) Jaga Telinga agar tidak mendengar pekara-pekara yang boleh merencatkan Iman dan Taqwa kita.

3) Jaga 'Lidah' agar tidak mengeluarkan pekara-pekara yang membolehkan tipisnya Akal serta mendatangkan kemurkaan-Nya.

4) Jaga 'Perut' agar tidak dihiasi dengan makanan dan minuman yang haram sehingga merosakkan Iman dan Aqidah.

5) Jaga 'kemaluan' agar tidak mendatangkan pekara-pekara kemaksiatan seperti berzina. Nauzubillah min zaliq.

6) Jaga 'Tangan' kita agar tidak melakukan pekara-pekara yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t seperti melakukan dosa besar dan dosa kecil.

7) Jaga 'Kaki' kita agar tidak melangkahi ke tempat-tempat kemaksiatan serta melakukan kebathilan terhadap Allah s.w.t.

Semoga nasihat yang berguna ini, sama-sama kita ingati dalam hati-hati kita agar tidak terpesong dari syariat-Nya. InsyaAllah.