Thursday, April 22, 2010

Ujian Tingkat Kematangan..


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah memberi rezeki kepada semua hamba-hambanya, selawat dan salam ku panjatkan ke atas Nabi junjungan kita Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda. Salam ceria, salam perjuangan dan salam optimis. Optimis kita dengan kehidupan dan ujian kehidupan yang telah Allah turunkan pada setiap hambanya yang beriman.

Seorang sahabat ada bertanya pada penulis mengenai hakikat ujian. Moga entri kali ini lebih memberi kefahaman pada 'anda' yang bertanya penulis.Tiada manusia yang tidak diuji dengan tekanan. Samada di rumah, di pejabat atau keluarga, tekanan tetap ada. Malah tekanan dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan dan hidup manusia. Kerana apa? Kerana kita masih lagi di sekolah kehidupan.Apabila dinamakan sekolah kehidupan pasti ada ujiannya. Keputusan ujian itu nanti, sewaktu kita semua berbaris di padang Masyhar untuk mengambil keputusan masing-masing. Keputusan berdasarkan 'jawapan/tindakan' pada setiap ujian dunia yang telah Allah berikan.

Bagaimana Rasulullah memberikan penawar untuk berdepan tekanan seperti sabda Nabi SAW:"Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar,tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut." (Riwayat Al-Hakim)

Ingatlah ujian seiring dengan perjuangan.Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan Iman, sabar dan istiqamah.Ujian dijadikan oleh Allah untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajarannya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.

Umat Islam akan diuji 5 perkara:
1) Saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya.
2) Orang munafik yang sentiasa membencinya.
3) Orang kafir yang sentiasa memeranginya.
4) Syaitan yang sentisa berusaha menyesatkannya.
5) Bisikan hawa nafsu yang sentisa menggoncangkan keimanannya.

Saudara-saudaraku, semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah.

Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan menerbitkan rasa putus asa dan kecewa sedangkan Allah berfirman yang bermaksud:"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" (al-Insyirah:6)

Yang penting, sering sematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kehidupan.Sekadar peringatan untuk diri penulis terutamanya..

Wallahu a'lam.


1 comment:

insan said...

moga tulisan2 yang tajam seperti ini, mampu merobah dunia.
www.motivasiinsan.blogspot.com