Friday, August 21, 2009

Ramadhan Kareem


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t.

Ramadhan Kareem diucapkan kepada seluruh umat Islam..semoga ramdhan kali ini lebih baik daripada ramadhan yang sudah-sudah, semoga puasa kita tidak lagi dikategori puasa orang awam juga amal ibadah kita lebih khusyuk. Esok umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa yang merupakan rukun Islam yang ke-3. Esok juga 'hawa nafsu' kita akan masuk ke madrasah ramadhan..harapannya apabila keluar dari madrasah ramadhan kali ini, biarlah dengan segulung kejayaan mendidik hawa nafsu kita.

Entry kali ni berkenaan dengan KELEBIHAN BULAN RAMADHAN.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

P/S: sumber dipetik daripada fadhilat bulan-bulan Islam.

Friday, August 14, 2009

Santai Minda


Bismillahirrahmanirrahim...
Salam alaik
Salam Jumaat pada semua...penghulu kepada segala hari..semoga kita semua sentiasa dalam keberkatan Allah swt...bulan syaaban hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi..kemudian kita akan melangkah ke bulan ramadhan..tetapi entry penulis kali ni belum lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan ramadhan tetapi entry kali ini lebih kepada MUHASABAH KEMATIAN..

Kematian itu hampir dengan kita, oleh kerana itu kita disaran untuk banyak mengingati mati. Dalam bulan syaaban ini sudah ramai yang 'pulang' ke kampung asal. Seperti yang tercatat atau tercoret melalui media elektronik atau media cetak pengkhabaran tentang kematian arwah Yasmin Ahmad dalam keadaan sedang membentangkan projek terbarunya, kemudian di ikuti pula khabar pemergian yang terbaru Ust Asri Ibrahim juga dalam keadaan sedang bekerja atau seingat penulis arwah baru hendak memulakan persembahan dengan tidak disangka-sangka tiba-tiba jatuh pengsan...kelmarin penulis dikhabarkan dengan pemergian adik kepada Ust Fauzi (officemate penulis) juga kembali ke rahmatullah kerana kemalangan, dan banyak lagi berita-berita mengenai kematian...semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh-roh hambanya yang telah 'pulang' dahulu...

Bagaimana dengan kita? bagaimana keadaan kita nanti apabila tiba masanya kita 'pulang' ke kampung asal?...samada kita masih dimeja kerja, atau sedang membawa kereta, atau sedang gelak ketawa atau sedang makan atau sedang tidur...kita tidak tahu...apa yang perlu kita ambil tahu adalah kedekatan diri kita dengan Allah s.w.t...Allahu Akhbar!!!!!...gerun rasa hati penulis apabila terasa ada mata sedang memerhati untuk mengambil nyawa kita dan hanya menunggu arahan dari Sang Pencipta...ayuh...perbanyakkan istighfar..perbanyakkan mengingati mati...
tiada daya upaya ku ya allah selain kekuatan darimu...

Teringat penulis perkongsian bersama-sama rakan seangkatan sewaktu di kolej. Kami membincangkan teka-teki yang Imam Al-Ghazali berikan kepada anak-anak muridnya.

Marilah sama-sama kita saling ingat-mengingatkan ....

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka-Teki ) :

Imam Ghazali = 'Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia
ini ?
Murid 1 = ' Orang tua '
Murid 2 = ' Guru '
Murid 3 = ' Teman '
Murid 4 = ' Kaum kerabat '
Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat
dengan
kita ialah
MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti
akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali =
' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Negeri Cina '
Murid 2 = ' Bulan '
Murid 3 = ' Matahari '
Murid 4 = ' Bintang-bintang '
Iman Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar
adalah
MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita
tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga
hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang
sesuai dengan ajaran Agama'.

Iman Ghazali = '
Apa yang paling besar didunia ini ?'
Murid 1 = ' Gunung '
Murid 2 = ' Matahari '
Murid 3 = ' Bumi '
Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali
adalah
HAWA NAFSU(Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan
nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.'

Imam Ghazali= '
Apa yang paling berat didunia? '
Murid 1 = ' Baja '

Murid 2 = ' Besi '

Murid 3 = ' Gajah '
Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'


Imam Ghazali =
' Apa yang paling ringan di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Kapas'
Murid 2 = ' Angin '
Murid 3 = ' Debu '
Murid 4 = ' Daun-daun'
Imam Ghazali = ' Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling
ringan sekali didunia ini adalah
MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan
kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat '

Imam Ghazali =
' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? '
Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang '
Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia
ini adalahLIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri ''sampaikanlah walau satu ayat'..

wallahu a'alam..

p/s : Bersediakah kita untuk 'pulang' ke kampung asal?...Bagaimana dengan 'bekal' amal kita?


Wednesday, August 5, 2009

LAPAN PERKARA TANDA RASA TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t.

Santai minda kali, penulis ingin merenung kembali diri ini. Supaya sentiasa muhasabah diri dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam. Sama-samalah saling ingat mengingati.

Seorang ahli fiqh, Abul Laitsi berkata: Tanda rasa takut kepada Allah S.W.T. itu jelas dalam lapan perkara:-


1.
Kelihatan dalam lisannya (percakapannya): Maka dia menahan dan mencegah lisannya daripada dusta, menggibah (membicarakan aib orang lain) dan daripada berkata yang berlebih- lebihan. Bahkan dia berusaha menggunakan lidahnya untuk berzikir kepada Allah S.W.T, membaca Al Quran serta mempelajari ilmu.

2.
Dia takut terhadap urusan perutnya: Maka dia tidak akan memasukkan ke dalam perutnya atau tidak mahu makan melainkan yang halal sahaja lagi sedikit, ertinya tidak mahu makan yang halal kecuali secukup hajatnya sahaja.

3.
Dia takut akan urusan penglihatan: Maka dia tidak mahu melihat kepada sesuatu yang haram dan tidak mahu melihat juga kepada duniawi dengan pandangan cinta, tetapi melihatnya hanya sekadar untuk mengambil iktibar atau tauladan.

4.
Dia takut akan urusan tangannya: Maka dia tidak menghulurkan tangannya dan tidak menghayunkan tangannya kepada yang haram; tetapi dia menghulurkan tangannya hanya untuk sesuatu yang menyangkut perbuatan taat kepada Allah S.W.T.

5.
Dia takut akan urusan dua kakinya: Maka dia tidak berjalan dalam perbuatan derhaka kepada Allah S.W.T. bahkan selalu berjalan di dalam urusan taat kepada Allah S.W.T.

6.
Dia takut dalam urusan hatinya: Maka dia hindarkan daripada hatinya rasa permusuhan, kehendak marah dan daripada rasa dengki hatinya, kehendak marah dan daripada rasa dengki kepada teman- teman. Bahkan dipenuhi hatinya dengan nasihat dan rasa kasih sayang kepada kaum muslimin.

7.
Dia selalu takut dan khuatir akan kataatannya kepada Allah S.W.T. Maka dia berusaha menjadikan ketaatannya betul- betul murni dan ikhlas hanya untuk Allah S.W.T. semata- mata dan dia khuatir riak (berbuat hanya untuk dilihat dan dipuji manusia) dan perbuatan nifak (lain dikata lain di hati) atau (lain dibuat lain di hati).

8.
Dia selalu takut dalam urusan pendengarannya maka dia tidak mahu mendengarkan kecuali hak atau yang benar sahaja.

p/s: syaitan + hawa nafsu x cinta dunia = jihad (yeah jihad untuk melawan hawa nafsu..takbir!!!! Allahu akbar...

Tuesday, July 28, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.

Perbincangan seterusnya adalah mengenai SASARAN DAKWAH.

Apakah jawapan yang anda akan berikan sekiranya anak-anak halaqah anda bertanyakan soalan seperti bi bawah:

Soalan : Apa sasaran dakwah yang ingin dicapai dari mengikuti halaqah dan tarbiyah?

Hah! bagaimana jawapan anda (sebagai naqib/naqibah/murabbi/murabbiah) terhadap pertanyaan tersebut? Mari kita berkongsi pandangan.

Seharusnya penjelasan yang sepatutnya diberikan mengenai sasaran dakwah (ahdafud da'wah) kepada anak-anak halaqah adalah seperti berikut:

1) Membina peribadi muslim.(Bina'ul faradil Islam)

Bagaimana yang dikatakan membina peribadi Islam? Yakni membina terbentuknya peribadi-peribadi yang bertaqwa kepada Allah dan aktif berdakwah di jalan Allah. Menjadikan Allah sebagai tujuannya, Rasulullah sebagai teladannya, Al-quran sebagai panduan dan peraturan hidupnya, jihad sebagai jalan hidupnya dan mati di jalan Allah sebagai cita-cita tertingginya. "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" (QS 2:207)

2) Membina keluarga Islami (Bina'ul usrotul Islam)

Bagaimana membina keluarga Islam?. Dari peribadi-peribadi Islam diharapkan akan terbentuk keluarga-keluarga Islami. Iaitu keluarga yang terdiri dari suami isteri yang telah terbentuk keperibadian Islamnya. Juga keluarga yang telah siap secara zahir dan batin untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak yang berwatak Islami dan da'ieyah sebagai penerus risalah Islamiah di masa hadapan. " Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang dipermudahkan-nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (QS 66:6)

3) Membina masyarakat Islami (Bina'ul mujtama' al Islam)

Keluarga-keluarga Islami yang telah terbentuk akan mewarnai dan membentuk masyarakat, sehingga masyarakat menjadi Islami. Iaitu masyarakat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sehingga Allah melimpahkan barakah kepada mereka dari langit dan bumi. "Jikalau sekiranya penduduk-penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami melimpahkan barakah dari langit dan bumi..."(QS 4:96)

4) Membina negara Islami (Bina'ul daulatul Islam)

Setelah terbentuknya masyarakat Islami, diharapkan akan terbentuk negara Islami. Iaitu negara yang pemerintahannya selalu melakukan amal ma'aruf dan nahi mungkar secara konsisten sehingga tumbuh masyarakat yang adil, beradab, dan sejahtera. Negara yang pemimpinnya beriman dan tunduk pada hukum Allah, "Hai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan Rasul (nya) dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah(Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (QS 4:59)

5) Membina alam Islami (Bina'ul ustadziyatul alam)

Akhirnya, sasaran dakwah terakhir adalah terbentuk dan terbinanya alam semesta ini dengan nilai-nilai Islam. Dunia tunduk pada ajaran Allah secara menyeluruh. Pada waktu itulah tidak ada lagi fitnah di muka bumi. Kaum muslimin pada waktu ini benar-benar telah menjadi rahmat bagi semesta alam." Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam." (QS 21:107)


Kelima-lima sasaran dakwah tersebut harus dibentuk dan dibina secara bertahap dan berkesinambungan. Aktivis dakwah tidak boleh cukup puas hanya samapai pada tahapan tertentu sahaja.

Wujudnya sasaran dakwah bukanlah dihitung dari umur individu para penggerak /aktivisnya. Dakwah merupakan perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, keteguhan dan kecerdikan. Tidak peduli berapa lama dan berapa banyak tenaga yang dikorbankan, dakwah harus terus bergerak menuju sasaran akhirnya. Dakwah merupakan jalan bagi muslim untuk menuju redha-Nya.
"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah: dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya." (QS 2:27)


P/S : Berhenti pada satu sasaran dakwah adalah sikap pengecut. Sikap kepahlawanan muncul dari keberanian memperjuangkan seluruh sasaran dakwah, betapa pun berat dan sukarnya jalan ke arah sana.


Thursday, July 23, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t

Permasalahan yang seterusnya ialah SIKAP TERHADAP PELBAGAI HARAKAH

Seperti yang kita maklum, di Malaysia khasnya terdapat pelbagai harakah yang membawa 'inti' dan 'isi' atas dasar perjuangan mennyebar dan menegakkan Islam. Namun persoalannya di sini bagaimanakah sikap kita terhadap pertumbuhan pelbagai harakah (jama'ah) yang banyak ini?

Soalan : Bagaimanakah sikap kita terhadap pelbagai jama'ah (harakah) yang ada?

Jawapan :

Pelbagai jama'ah (harakah) yang ada saat ini muncul kerana rasa peduli mereka untuk mengembalikan manusia kepada ajaran Islam dan kembali kepada proses untuk memanusiakan manusia. Keragaman jama'ah yang ada saat ini tidak boleh dielakkan kerana mereka berdiri atas dasar ijtihad ( hasil pemikiran) sekelompok muslim setelah tiadanya jama'ah muslimin (jama'ah yang melingkupi umat Islam sedunia) sejak runtuhnya Khilafah Turki Utsmani. Kerana berdiri atas ijtihad masing-masing, maka menjadi wajar jika uslub (tata cara) pelbagai jama'ah itu dalam memperjuangkan Islam menjadi berbeza-beza. Ada yang mengambil 'garis keras', 'lunak' dan moderat.

Sikap kita sebagai muslim terhadap pelbagai jama'ah (harakah) yang ada adalah menganggapnya sebagai aset umat. Ertinya, kewujudan mereka merupakan sarana (jalan) untuk bekerjasama dalam memperjuangkan Islam. Bahkan lebih cantik sekiranya jama'ah ini dapat bersatu mewujudkan kembali jama'ah muslim yang telah hilang. Kerana itu, untuk memastikan agar cita-cita itu menjadi kenyataan seharusnya sikap kita terhadap pelbagai jama'ah yang ada adalah dengan :

1) Tidak boleh menganggap suatu jama'ah sebagai yang paling benar, sedang yang lainnya adalah salah. Selama jama'ah yang lain tetap berjuang dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah.

2) Dalam mengajak oran mengikuti jama'ahnya, tidak boleh memburukkan jama'ah lain selama jama'ah tersebut tetap konsisten dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah.

3) Tidak boleh menafikan kewujudan jama'ah yang pelbagai tersebut dengan tidak mahu berinteraksi atau bergabung dengan salah satu di antara jama'ah yang ada.

4) Sentiasa membuka pintu dialog dengan jama'ah lain agar tidak wujud salah faham sebagai sarana peluang bekerjasama.

5) Berusaha untuk tetap menjalin kerjasama dengan jama'ah lain, terutama dalam masalah-masalah yang disepakati.

Selagi mana sikap kita terhadap pelbagai jama'ah yang ada masih seperti yang dikemukan di atas insyaallah keragaman jama'ah tidak akan membawa mudarat (kerugian) bagi perjuangan umat. Keragaman jama'ah akan menjadi mudarat jika pihak masing-masing menutup pintu dialog dan kerjasama, serta telah memburukkan jama'ah lain dalam usaha merekrut anggota untuk jama'ahnya. Wallahu'alam.

p/s: Pengalaman banyak mengajar penulis untuk lebih memahami perjalanan harakah, halaqah dan tarbiyah. Oleh kerana itu ajarkan diri anda supaya sentiasa bersangka baik dengan jama'ah yang pelbagai walaupun ada dua atau tiga perkara yang kita kurang setuju salurkan dengan bijak dan betul serta berhikmah agar ukhuwah Islamiah tidak terputus. Jama'ah yang baik adalah jama'ah yang serius memperjuangkan Islam dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang juga serius memperjuangkan Islam.

Wednesday, July 22, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t...

PENGERTIAN HALAQAH DAN TARBIYAH

Soalan: Apakah sama pengertian halaqah dengan tarbiyah?

Jawapan : Tidak, pengertian kedua-dua di atas adalah berbeza.

Soalan: Jika berbeza, apa perbezaan di antara istilah halaqah dan tarbiyah?

Jawapan:

Kedua-dua istilah ini adalah berbeza. Tarbiyah secara harfiyah bererti pendidikan. Secara definisi tarbiyah boleh juga disebut sebagai proses belajar untuk merubah perilaku seseorang ke arah yang lebih Islami. Setiap bentuk pendidikan (keislaman) boleh juga disebut sebagai tarbiyah.

Tarbiyah boleh dilakukan melalui pelbagai cara, seperti membaca buku Islam, mendengarkan ceramah agama di radio, menonton ceramah Islam di TV/VCD, menghadiri seminar, ceramah atau bedah buku Islam dan lain-lain.Boleh disimpulkan bahawa tarbiyah memiliki sarana belajar yang banyak dan beragam.

Halaqah berbeza pengertiannya dengan tarbiyah. Halaqah secara harfiah bererti lingkaran. Halaqah ialah sekelompok orang yang mempelajari Islam secara berterusan dan dibimbing oleh seorang murobbi (pembimbing/pembina) . Halaqah diyakini sebagai sarana utama tarbiyah. Sebab tanpa halaqah, tarbiyah tidak akan efektif untuk merubah seseorang menjadi berkeperibadian Islam. Sejarah perjalanan tarbiyah yang panjang di pelbagai belahan dunia membuktikan bahawa halaqah adalah satu-satunya cara tarbiyah yang efektif untuk membentuk peribadi muslim yang baik.

Jadi kesimpulannya di sini, dapat dikatakan bahawa tarbiyah bersifat umum yang mencakupi segala aktiviti pembelajaran (Islam). Manakala halaqah pula merupakan cara atau sarana yang terpenting dan utama dari tarbiyah Islamiyah. Halaqah lebih bersifat khusus. Wallahu'alam.

p/s: tanpa halaqah, tarbiyah tidak akan efektif

Tuesday, July 21, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah

Bismillahirrahmanirrahim..

Insyaallah bicara kali ini penulis lebih fokuskan kepada permasalah halaqah serta jalan penyelesaian yang boleh di ambil.

DAKWAH DENGAN 'COVER' TERTENTU

Soalan: Pada waktu bilakah dakwah perlu memakai 'cover' tertentu? Sebaliknya, pada saat bila pula dakwah tidak perlu memakai 'cover' tertentu?

Jawapan:

Yang dimaksudkan 'cover' di sini adalah jama'ah memakai nama organisasi yang berbeza dengan nama sebenarnya. Pemakaian 'cover' juga termasuk masalah ijtihadi yang diatur secara qoth'i dalam syar'i. Hal ini terpulang kepada kebijakan jama'ah itu sendiri. Jika jama'ah merasa perlu memakai 'cover' untuk berdakwah kepada masyarakat, hal ini disebabkan beberapa alasan:\

1) Masyarakat lebih mengenali nama organisasi 'cover' daripada nama rasmi jama'ah.

2) Nama rasmi jama'ah di lihat kurang diterima kerana stigma negatif di kalangan masyarakat tertentu terhadap nama tersebut.

3) Melindungi nama jama'ah dari buruk sangka dan fitnah kerana bergerak pada level yang masih kontroversi dalam masyarakat.

4) Adanya kekuatiran jika memakai nama jama'ah akan menyulitkan perjalanan dakwah.

5) Nama rasmi jama'ah kurang popular dan familiar di mata sebahagian masyarakat.

6) Adanya hambatan (larangan) dari pihak tertentu yang tidak sengan dengan jama'ah (yang kekuatannya lebih besar dari kekuatan jama'ah , sehingga jama'ah perlu memakai nama lain yang lebih sah atau halal penubuhannya di sisi undang-undang.

Dengan pelbagai alasan tersebut, jama'ah dapat mengambil kebijakan untuk menggunakan nama atau 'cover' tertentu baik untuk skala jama'ah secara menyeluruh atau peribadi-peribadi anggotanya.

Jadi boleh sahaja jama'ah secara menyeluruh atau peribadi anggota jama'ah menggunakan berbagai 'cover' untuk mempermudahkan dakwahnya. Yang penting dalam dakwah bukanlah dengan nama apa kita bergerak, tapi dengan apa kita bergerak. Sebab pada dasarnya para aktivis dakwah hanya menyeru kepada Islam, bukan mengajak orang menyeru kepada nama tertentu selain Islam.

Nama jama'ah atau nama 'cover' hanyalah sarana untuk menyeru orang kepada Islam. Apa pun nama yang kita gunakan, kita harus konsisten menyeru manusia kepada Islam.

Jangan sampai para aktivis 'terperangkap' dengan nama tertentu yang di pakai jama'ah. Alih-alih apakah nama itu disukai atau tidak disukai olehnya. sebab sebetulnya hanya ada satu nama bagi kita dan kelompok kita, iaitu muslim dan umat (jama'ah) Islam. "....saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang muslim ( yang berserah diri kepada Allah)" (QS:3:64)

Nama rasmi jama'ah atau nama 'cover' hanya sarana untuk memudahkan kerja-kerja untuk mengenal pasti individu-individu yang mampu memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam dan mahu beramal jama'i (bekerja sama) dalam memperjuangkan Islam.

Semoga dengan sedikit penerangan dapat memberikan kita sedikit kefahaman yang jelas mengenai permasalahan ini terutama di Malaysia. Penulis selalu berharap agar badan-badan yang memperjuangkan Islam ini bersatu padu dalam mengatasi pelbagai masalah seperti masalah belia Islam kini yang cara hidupnya sudah lari daripada ajaran Islam sebenar. Bersatu padu dalam erti kata yang sebenar dari segi roh dah jasad bukannya hanya bersatu padu di atas kertas atau di konvensyen-konvensyen tertentu sahaja. Wallahu'alam.

P\S: Sesungguhnya hanya ada satu nama bagi kita :muslim yang mukmin. Nama lainnya hanyalah sarana untuk menuju muslim yang mukmin.