
Bismillahirrahmanirrahim.
"Dan diwajibkan atas kamu berperang,padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,padahal itu baik bagimu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu.Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui" Al-Baqarah:216

Salam alaik..“La tahzan ya ukhti…Allah tahu apa yang terbaik untuk anti”
Aku menangis semahu-mahunya apabila bait-bait perkataan itu terlintas dibenakku. Ya betul, aku tidak sepatutnya merasa sedih dengan kepayahan yang tidak seberapa yang perlu ku lalui sepanjang penghijrahanku ke tempat yang baru, suasana yang baru dan segala-galanya baru..suasana tarbiyah juga baru dan lebih mencabar. Hijrahku kali ini lebih kepada pengaplikasian ilmu tarbiyah yang telah ku perolehi. Sakit, pahit tetapi dihujungnya kemanisan iman yang dapat kurasa.
“Ukhti, kalau dahulu kita adalah orang yang sentiasa disusun gerak kerjanya..kini kita sendiri yang harus menyusun gerak kerja kita . Tautkan kekuatan hatimu dengan tuhan Rabbul Izzati kerana sebenarnya martabatmu di angkat disisi allah. Ramai yang gagal untuk melepasi ujian berat ini. Adakah anti mahu turut serta dengan mereka-mereka yang tergelincir dari jalan menyeru manusia kepada Yang Hak?”
Satu persatu ingatan dan pesanan kembali bermain-main difikiranku untuk menambahkan kekuatanku untuk terus thabat dijalan yang telah ku pilih kerana kefahaman fikrah yang telah ku perolehi sembilan tahun yang lalu..
Penghijrahanku kini berliku. Hanya Allah yang tahu bagaimana konflik diri yang terpaksa ku hadapi. Berhadapan dengan pelbagai kritikan juga pandangan hanya kerana aku mahu mencari yang terbaik buat diriku.Sepanjang penghijrahan ini juga air mata adalah teman yang sentiasa bersama-samaku. Ah! Biarkan mereka dengan cara mereka, teruskanlah dengan cara masing-masing.
Aku teringatkan tafsiran surah yunus:64 “Ingatlah wali-wali Allah itu,tidak rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati.” Tafsiran ini ku ambil sebagai penyuntik semangatku..juga lirik lagu nasyid dari kumpulan Firdaus :
Ku Mohon
Dilubuk hatiku terdalam,
Ini yang ku pilih penuh keyakinan
Namun kadang bimbang menyerang
Sanggupkah melangkah? Ku terus berjalan
Saat badai menderaku
Hingga rapuh dan goyah
Tiada daya untuk bertahan
Hanya engkau tempat berpegang
Berkatilah setiap semangat jiwa
Untuk selalu berjuang dijalanmu
Kerjakanlah hati yang kadang redup
Tertiup angin duniawi…….
Saat hujan basahiku……
Dalam derai air mata
Dengarlah permohonanku…
Lalu takdirnya, aku diarahkan untuk duduk di dalam halaqah orang-orang yang lebih berumur dariku, yang lebih lama dalam dunia tarbiyah, yang lebih mantap fikrahnya, yang lebih matang fikirannya, yang lebih beradab dan berakhlak.
Lalu Allah campakkan rasa gembira yang tidak boleh digambarkan dengan apa sekali pun, mungkin ini hadiah dari Allah.
“Oh! Ye ke?, hmmm…usrah dengan makcik-makcik ni payah sikit, lambat lepas tu macam-macam kerenah, ini tidak boleh itu tidak boleh. Lambat lah, kerja dakwah kita kena cepat.”
Aku hanya tersenyum apabila salah seorang ukhtifillah mengeluarkan kenyataan sebegitu . Betul aku tidak menafikan gerak kerja dakwah kena cepat , tapi jika ada perkara-perkara yang mengharapkan komitmen untuk seorang da’ie itu dengar dan taat, maka seharusnya dengar dan taat.
“Tidak mengapalah ukhti, mereka masih belum tua, apabila mereka tua nanti baru mereka tahu”
Tersentak rasa apabila kenyataan ini keluar dari seorang yang sangat ku hormati kerana ‘dia’ adalah antara manusia yang ‘mengikatku’ dengan tarbiyah. Nasihat serta tegurannya akan ku jadikan sebagai bekal perjalananku. Aku suka bermuzakarah dengan ‘orang-orang’ lama dalam tarbiyah kerana di situ aku mengumpul ilmu secara tidak sedar dan lebih bermakna selain lebih memberi kesan.
“ Anti kena tahu dan faham, golongan orang-orang lama yang dikatakan lambat ini ada 3 sebab , pertama : kerana perlu mengikut saluran yang betul, kedua: kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, dan yang ketiga: kerana telah futur. Alasan yang pertama dan kedualah yang sepatutnya orang muda faham dan alasan yang ketiga adalah alasan yang membolehkan kenyataan orang muda tadi diterima.Anti boleh faham?”
Begitulah hasil muzakarahku dengan seorang ust yang juga telah lama berada di medan ini. Aku sangat faham bahkan itulah peganganku sewaktu ku tahu berkenaan dengan akhawat yang akan bersama-samaku dalam satu usrah. Aku sangat beruntung kerana ini adalah jalan untuk Allah berikanku ilmu yang banyak melalui ‘orang-orang’ lama dalam tarbiyah. Gembira bukan kepalang. Kalau sesetengah ‘orang-orang’ muda mungkin menggelarkan diri mereka ini sebagai makcik-makcik tetapi aku lebih senang dan dekat memanggil mereka dengan panggilan ‘kak’.
“Ingat, kita ni masih perlu menjalani tapisan demi tapisan Allah kerana untuk menghasilkan batu—batu yang keras agar dapat membina bangunan yang kukuh memerlukan ‘bahan-bahan’ yang betul-betul berkualiti, Allah tidak sama sekali bertanya berapa ramai yang telah engkau tarik untuk memahami agamanya tetapi allah akan tanya adakah kita telah melakukan kerja-kerja menyampaikan?”
Pesan naqibahku sewaktu halaqah yang telah diadakan. Betul lah kata orang pengalaman merupakan guru yang terbaik untuk kehidupan.
Wallahualam….
p/s: penulis memang suka bersahabat dengan orang yang lebih berumur dari penulis kerana banyak pengalaman dan nasihat yang penulis boleh dapat. Bak kata orang lagi mematangkan diri.
بسم الله الرحمن الرحيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Miskinkah kita?
Apabila persoalan di atas dikemukakan apakah jawapan yang berlegar diruang pemikiran anda?
Ya, persoalan yang dianggap ringkas tetapi memerlukan huraian dan jawapan sebenarnya.
Adakah yang dikatakan miskin itu orang yang berpakaian lusuh, kusam, atau pakaian yang koyak di beberapa bahagiannya. Mereka tidak memiliki pakaian selain kain-kain yang melekat di tubuhnya, bahkan orang-orang yang memanfaatkan kain-kain terpakai untuk dijadikan pakaian, apakah mereka ini yang dikategorikan sebagai orang yang miskin?
Orang-orang yang tidak memiliki cukup makanan untuk disantap setiap hari, yang kebingungan setelah sarapan pagi nanti, tidak tahu apa yang harus dimakan untuk tengaharinya pula, atau mereka yang tidak yakin apakah esok hari masih ada makanan untuk disantap. Orang-orang yang hanya bertemu makanan sekali dalam sehari atau mereka tepaksa berpuasa berhari-hari kerana tidak ada wang untuk membeli sedikit makanan. Inikah yang disebut sebagai miskin?
Anak-anak yang berkeliaran di jalanan mencari makan diusia mereka yang masih belia. Para pengemis jalana, pemungut sampah, tukang baiki kasut, peniaga di tepi jalan yang penghasilan mereka lebih kecil dari wang belanja anak-anak di sekolah golongan elit. Miskinkah mereka?
Tukang sapu, buruh banguanan, pekerja di pasar, pemungut barangan terpakai dan tukang angkut sampah serta pekerja kasar lainya. Benarkah mereka komuniti orang-orang miskin?
Orang –orang yang sakit bertahun-tahun tak kunjung sembuh kerana tidak mampu untuk membeli ubat, orang-orang yang banyak hutang dan tidak mampu untuk membayarnya, beginikah gambaran orang yang miskin?
Sebuah keluarga yang berpindah-randah dan sering diusir oleh pemilik rumah kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah atau mereka yang memilih mendirikan pondok di kawasan pembuangan sampah. Layakkah disebut miskin?
Yang tidak mempunyai handphone , tidak pernah makan pizza, tidak tahu bagaimana rasanya ayam crispy , yang tidak tahu jenis makanan yang ada di restoran kerana nama dan bentuknya sangat asing, tidak pernah ke panggung, bahkan tidak mempunyai televisyen di rumah mereka. Inikah yang dikatakan sebagai orang yang miskin?
Orang-orang tidak memiliki satu jenis kenderaan walau hanya basikal buruk, yang tak pernah merasakan sejuknya air cond di dalam kereta, yang terpinga-pinga jika masuk ke bangunan tinggi atau hotel, yang terlopong di dalam pusat membeli belah kerana mereka hanya bisa bermimpi untuk memiliki barang-barang mewah. Yang seperti inikah miskin?
Bukan! Selagi mereka tidak berasa miskin, selama mereka selalu merasa cukup dengan apa yang dimiliki, semasa rasa syukur selalu menjadi kekuatan utama dalam menjalani kehidupan sebagai satu ibadah dan menjadikan Allah satu-satunya tempat bergantung dan meminta, mereka adalah orang-orang yang kaya.
Tidak! Selagi mereka tak cepat putus asa, tidak selalu mengeluh dan meratap nasib, tidak mengemis dan selalu berharap belas kasihan dari orang lain, tidak menjadikan dirinya beban orang lain, justeru mereka sangat kaya.
Bukan! Selagi mereka mampu menggunakan anugerah yang Allah berikan seperti anggota tubuh badan dan pancaindera semaksimum yang mungkin.
Miskin sebenarnya, mereka yang tidak bersyukur atas nikmat yang diperolehi, yang tidak merasa cukup dan selalu ingin hidup berlebih. Teramat banyak mereka yang mempunyai harta yang banyak sesungguhnya jauh lebih miskin dari orang-orang yang sering disebut miskin.
Sesungguhnya duit bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit.