Thursday, April 22, 2010

Ujian Tingkat Kematangan..


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah memberi rezeki kepada semua hamba-hambanya, selawat dan salam ku panjatkan ke atas Nabi junjungan kita Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda. Salam ceria, salam perjuangan dan salam optimis. Optimis kita dengan kehidupan dan ujian kehidupan yang telah Allah turunkan pada setiap hambanya yang beriman.

Seorang sahabat ada bertanya pada penulis mengenai hakikat ujian. Moga entri kali ini lebih memberi kefahaman pada 'anda' yang bertanya penulis.Tiada manusia yang tidak diuji dengan tekanan. Samada di rumah, di pejabat atau keluarga, tekanan tetap ada. Malah tekanan dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan dan hidup manusia. Kerana apa? Kerana kita masih lagi di sekolah kehidupan.Apabila dinamakan sekolah kehidupan pasti ada ujiannya. Keputusan ujian itu nanti, sewaktu kita semua berbaris di padang Masyhar untuk mengambil keputusan masing-masing. Keputusan berdasarkan 'jawapan/tindakan' pada setiap ujian dunia yang telah Allah berikan.

Bagaimana Rasulullah memberikan penawar untuk berdepan tekanan seperti sabda Nabi SAW:"Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar,tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut." (Riwayat Al-Hakim)

Ingatlah ujian seiring dengan perjuangan.Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan Iman, sabar dan istiqamah.Ujian dijadikan oleh Allah untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajarannya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.

Umat Islam akan diuji 5 perkara:
1) Saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya.
2) Orang munafik yang sentiasa membencinya.
3) Orang kafir yang sentiasa memeranginya.
4) Syaitan yang sentisa berusaha menyesatkannya.
5) Bisikan hawa nafsu yang sentisa menggoncangkan keimanannya.

Saudara-saudaraku, semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah.

Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan menerbitkan rasa putus asa dan kecewa sedangkan Allah berfirman yang bermaksud:"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan" (al-Insyirah:6)

Yang penting, sering sematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kehidupan.Sekadar peringatan untuk diri penulis terutamanya..

Wallahu a'lam.


Siri seterusnya....


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam optimis, salam mujahadah dan salam ukhuwah. Selawat dan salam ke atas Muhammad SAW nabi junjungan kita serta kaum keluarga baginda. Sebagai muhasabah diri kita bersama. Sambungan Siri Fitnah 3..adaptasi daripada tulisan murabbiku..

Fitnah Siri III : Bisikan... Permulaan Fitnah

Sesungguhnya ciri fitnah yang pertama ialah ia tidak kelihatan oleh mata secara sekaligus. Tetapi ianya hanya tersembunyi dan bermula secara bisikan di antara dua atau tiga orang. Kemudian ia melebar dengan berlalunya hari-hari. Problem ini menjadi bertambah besar kerana kekurangan kerja dakwah yang dilakukan. Kurang perhatian dan ketegasan daripada qiadah juga menjadi sebab ia menjadi bertambah subur.
Pada peringkat permulaan, masalah ini menjengukkan mukanya dalam keadaan malu-malu dan bersembunyi dalam keadaan ketakutan.

Kerana berterus terang adalah hasil keberanian, sedangkan fitnah dan berbisikan adalah fenomena kelemahan dan keraguan. Allah swt telah melarang daripada berbisikan. Kebanyakan para mufassirin menyatakan bahawa sebab kenapa Allah melarang daripada melakukan perkara ini kerana ia boleh menyebabkan orang lain berdukacita. Ini adalah benar, lebih-lebih lagi ketika ummat Islam hidup dalam keadaan kemewahan dan ketenangan.

Sebab kenapa berbisikan adalah dilarang kerana realiti telah menunjukkan berbisikan merupakan permulaan kepada fitnah dan pembentukan klik-klik. Umar bin Abdul Aziz telah menyedari tentang perkara ini, lantas beliau berkata, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Auza`iyy:Umar bin Abdul Aziz berkata: "Jika anda melihat satu kumpulan berbisik-bisik di antara mereka tentang suatu urusan agama mereka tanpa dilibatkan orang lain, maka ketahuilah bahawa mereka sedang mengasaskan kesesatan." (Sirah Umar bin Abdul Aziz, karangan Ibnu al-Jauzi, 103)



Demikianlah akhirnya, bermula dialog-dialog pinggiran, perbahasan-perbahasan individu, jauh dari suasana kerja yang boleh mendatangkan hasil, serta jauh dari kawalan qiadah jamaah. Dengan ini kejahatan bermula dan fitnah melebar. Oleh kerana itu, ada orang membandingkan fitnah ini dengan api besar membakar yang hanya bermula daripada percikan-percikan api yang kecil sahaja.

Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Nasr bin Sayyar “Aku melihat di bawah pasir cahaya bara api, yang hampir mengeluarkan api membakar. Sesungguhnya api dapat dinyalakan dengan dua batang kayu, dan sesungguhnya kejahatan hanya bermula daripada lidah. (Al-Aghani)Nasr -seorang pemimpin-, dengan kemampuan siasah dan kelayakan kepimpinannya, amat memahami dan mengetahui tentang perkara ini.

Lalu perbandingan dan gambaran yang dilakukannya terhadap fitnah adalah tepat dan indah. Pada waktu yang lain, beliau menggunakan perbandingan yang lain. Beliau mengumpamakan fitnah seperti kandungan yang tidak kelihatan melainkan pada hari-hari terakhir hamil sahaja.

Beliau memberi amaran daripada hanya menunggu dengan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap fitnah ini yang akan menyebabkan kesukaran untuk menangani permasalahan ini setelah ia merebak. Bait-bait syair beliau menggambarkan tentang perkara ini:
Apa yang kita sembunyikan tentang urusan kita, adalah seperti lembu jantan ketika mendekati hari penyembelihannya.

Atau seperti perempuan yang disangka oleh keluarganya, masih perawan sedangkan sudah hamil sembilan bulan. Kita melihat kepadanya sudah carik, dan carikannya sukar untuk ditampal. Seperti sehelai baju yang amat buruk, sudah tentu menyukarkan walaupun oleh tukang jahit yang mahir. (Muruj al-zahab 3/358)

Akhirnya Ia Menjadi Seperti Perempuan Yang Huduh

Sekiranya beliau dapat memahami tentang fenomena-fenomena fitnah lantaran deria siasi atau deria sosial yang dimilikinya, tetapi apa yang difahami oleh para salaf adalah lebih jelas dan mendalam. Mereka selalu mengambil pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh manusia daripada syair-syair di zaman jahiliyyah sehingga seolah-olah ia menjadi satu kaedah yang berterusan.

Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab sahihnya, dengan katanya: Ibnu `Uyainah berkata daripada Khalaf bin Haushab: Mereka suka untuk mendendangkan bait-bait ini ketika berlaku fitnah. Umru'ul Qais berkata: Maksudnya: Peperangan ketika ia pada peringkat permulaan, berusaha menawan hati setiap yang jahil dengan segala perhiasannya. Sehingga apabila api menyala dan kayu api dicucuh, ia melarikan diri tanpa teman. Mukanya hodoh, berubah warnanya, tidak diingini untuk dicium dan dikucupi.

Tujuan mengungkapkan bait-bait syair ini adalah untuk mengembalikan kita kepada apa yang didengar dan disaksikan oleh mereka ketika berlaku fitnah. Dengan mengungkapkan bait syair ini, mengingatkan mereka agar tidak melibatkan diri dengan fitnah dan tidak tertipu dengan fenomenanya yang mempesonakan... (Fath al-Bari 13/10)
Fitnah diibaratkan sebagai perempuan tua yang hodoh, yang tidak diingini untuk dicium dan dikucup.

Perumpamaan ini dilakukan adalah bagi menggambarkan keburukan fitnah. Bahkan terdapat beberapa nas syarak sendiri, melalui mimpi orang-orang salih, yang menggambarkan fitnah sebagai seorang perempuan yang mengerbang rambutnya. Ini adalah sebagai memberi amaran kepada orang mukmin daripada mendekatinya seterusnya tidak terpedaya dengan luarannya yang menarik atau permulaannya yang dijalankan dalam keadaan tersembunyi.

Memahami permulaan adalah sesuatu yang mesti dimiliki oleh seseorang pemimpin atau ketua. Sama ada melalui ilham yang merupakan natijah taqwa, atau kebijaksanaan yang dicernakan oleh pengalaman lalu, atau kebolehan semulajadi yang merupakan anugerah daripada Allah swt. Dengan kebolehan ini, seseorang itu boleh membezakan di antara kebenaran dan kebatilan melalui alunan perkataan yang diluahkan, keganjilan tingkah laku, perubahan perangai dan kelakuan. Ini menuntutnya agar mengambil sikap tegas serta tidak dipengaruhi oleh kelembutan tingkah laku, persahabatan yang panjang dan kemanisan perkataan.

Kepentingan jamaah adalah lebih utama daripada untuk mengambil hati sesiapa. Kesatuan saf adalah lebih patut didahulukan daripada untuk mengekalkan individu tertentu. Semuanya tidak akan terlaksana melainkan dengan sikap berterus terang dan membelakangkan penyembunyian. Ia hendaklah dirawat dengan rawatan yang tidak mengakibatkan mata pisau menjadi sumbing atau menyebabkan ketergendalaan amal. Membuang bisul adalah lebih baik daripada memotong anggota badan.

Memberikan ubatan adalah lebih utama daripada merawat penyakit. Menjaga burung-burung yang kecil di dalam sarangnya adalah lebih mudah daripada menangani api fitnah yang sudah merebak. Dengarkanlah di sini satu risalah yang menjelaskan tentang pengertian ini dengan gambaran yang mendalam, daripada Nasr bin Sayyar yang dihantarkan kepada Ibnu Hubairah Maksudnya: Walaupun ia adalah anak burung yang berumur dua tahun namun tubuhnya adalah besar, apabila ia telah cergas kakinya diselaputi bulu halus. Jika ia terbang bulu-bulu halus itu tidak menyakitkannya, tetapi ia boleh menyebabkan api merebak cepat. (Tarikh al-Tabariyy, 6/38)

Wallahu a'lam....

Friday, April 16, 2010

Dekat Di Hati Untuk Dikasihi....


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selawat ke nabi junjungan Muhammad SAW, serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat dan seterusnya mereka yang hidup selepas zaman kewafatan Nabi. Bersyukur kepaa Allah SWT..segala-segala yang terjadi adalah atas izin-Nya.

Agak lama penulis tidak menghantar pos yang baru, mungkin kesibukan yang membuat penulis lupa seketika untuk meng 'up date' bahan di alam maya ini. Semoga Allah memberikan kemudahan...alhamdulillah hari ini ada kelapangan waktu sedikit untuk penulis meneruskan coretan perkongsian ilmu.

Sekadar santai minda, refresh iman, muhasabah amal..agar esok lebih baik daripda hari ini.Sekadar perkongsian ilmu yang penulis ada..semoga ia memberi manfaat dunia dan akhirat hendaknya kepada para pembaca sekalian.


Santai minda kali ini adalah berkenaan dengan hal-hal yang bersangkutan dengan 'si dia bakal seorang isteri' atau 'si dia seorang isteri'.

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :”Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.” Riwayat Muslim

Huraian

Seorang isteri melihat kebahagiaan sebagai matlamat unggul dalam kehidupan berkeluarga. Ia tidak boleh diukur tetapi dapat dirasai. Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya.

Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: “Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”(Surah an-Nisaa’ ayat 34).

Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam. Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa.

Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis. Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga.

Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing. Mudah-mudahan jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan rumah tangga pada hari ini dapat dijawab.

(Sumber: Himpunan Hadis-hadis Sahih/ Sahih al-Jami’ as-Saghir 3299, Silsilatul-Ahadith as-Sahihati 1838)

Namun harus kita ingat..firman Allah dalam surah Ar-Rum:21 yang bermaksud:
"Dan di antara kekusaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir"

Oleh kerana itu, semstinya urusan jodoh itu adalah urusan Allah SWT..akan tetapi kita sebagai manusia pilihan yang diberi adalah IKHTIAR.Oleh itu soleh/solehahkan diri anda pasti anda akan perolehi seperti anda.(uihs! bebelit ke ayat tu? tak kan?)

Teringat lagu daripada kumpulan The Zikr, Lirik lagunya begini:

Isteri cerdik yang solehah,
Penyejuk mata,
Penawar hati,
Penajam fikiran,,

Di rumah ia isteri,
Di jalanan kawan,
Di waktu kita buntu dia penunjuk jalan,

Pandangan kita diperteguhkan,
Menjadikan kita tetap pendirian,
Ilmu yang diberi dapat disimpan,
Kita lupa ia mengingatkan,

Isteri cerdik yang solehah,
Penyejuk mata,
Penawar hati,
Penajam fikiran,,

Di rumah ia isteri,
Di jalanan kawan,
Di waktu kita buntu dia penunjuk jalan,

Nasihat kita dijadikan pakaian,
Silap kita dia betulkan,
Penghibur di waktu kesunyian,
Terasa ramai bila bersamanya,

Dia umpama tongkat si buta,
Bila tiada satu kehilangan,
Dia ibarat simpanan ilmu,
Semoga kekal untuk diwariskan.

Walllahu A'lam

p/s: Doakan penulis semoga dipermudahkan urusan serta menjadi isteri yang solehah.Allahuma Ameen...