Monday, September 28, 2009

Santai Minda



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t....

Sekadar bicara diri..entah apa yang diri ini mahu sebenarnya..terkadang ujian hati payah untuk dihadapi, mungkin ini caranya agar diriku terus dan terus mengingati Ilahi tempat masalah hati dikembalikan, emhhhh...Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tak selalu bahagia, sedekahkanlah satu senyuman walau dihatimu tak lagi mampu bertahan.

Belajarlah memaafkan walau dirimu terluka, berhentilah memberi alasan walau ingin menyatakan kebenaran, hiduplah dalam Iman walau hari dipenuhi dugaan dan berpeganglah kepada Allah walau Dia tak kelihatan...Bukti kasihNya,kita wujud didunia pinjaman ini. Ada sebab bila berlaku sesuatu perkara dan yakinlah Tuhan menguji setiap hambaNya yang mengakui keimanan kepadaNya. Jangan terlalu banyak berkhayal untuk jadi yang terbaik kerana hidup tak semudah itu, perihal kehidupan sebagai cermin dalam menilai sebuah pengabdian yang hakiki lagi abadi...Moga lelahmu dihargai Ilahi walau dicemuh insani.

Melangkah itu mudah,namun mencari arah itu yang terkadang payah,

Mencari jalan itu mudah, namun memahami destinasi itu yang susah,

Menyusuri susah itu mudah, namun menuju noktah itu pasti mendatangkan lelah.

Dalam semua ini, menjaga istiqamah itu paling susah, payah dan lelah.

Namun DIA amat faham, serahkan segalanya kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui,

Agar perjalanan kita sentiasa di dalam lindungan dan penjagaan Tuhan Empunya Dunia.

Rintih hatiku...

Ma li rabbun siwah Tiadalah bagiku Tuhan selain-Nya
Ghaffarun yamhuz zunub Pengampun memadamkan dosa-dosa
Ma li rabbun siwah Tiadalah bagiku Tuhan selain-Nya
Nurun yahdil qulub Cahaya menunjukkan hati-hati

Ya Allah 'abdun kathuraz zunubi Ya Allah, hamba banyak dosa
Zadat hauni qurubi Tambahkanlah dekatku dengan-Mu
Minka ilaika ghurubi Dari-Mu kepada-Mu aku kembali
Ya Allah la tahrimni naima Ya Allah jangan haramkanku nikmat-Mu
La tatrukni saqima Jangan tinggalkanku kesakitan
Ya Mannanar Rahima Wahai Maha Penganugerah & Maha Penyayang

Ya Allah Anta 'Aliyul Qadirul 'Azimu Ya Allah Engkau Maha Tinggi, Maha Pengatur & Agung
Ya Allah Antas Samiul Basirul 'Alimu Ya Allah Engkau Maha Pendengar, Melihat dan Mengetahui

Ma li rabbun siwah Tiadalah bagiku Tuhan selain-Nya
Rabbus sama'il udul Tuhan langit yang rata
Yaghfiru man asoh Mengampunkan sesiapa yang menderhaka-Nya
Wa huwal Halimur Rauf Dan Dialah Maha Lembut dan Memberi Rahmat

Ya Allah Rahmanul lil baraya Ya Allah Pengasih kepada manusia
Ghaffaru lil khataya Pengampun kepada kesilapan
Wa rajai huwa hudaya Dan harapanku adalah hidayah

Ya Allah irham dho'fi wa hali Ya Allah ampunkanlah kelemahanku & keadaanku
Faqa zanbu ihtimali Padamkanlah dosa-dosa yang tidaku kusedari
Faghfirli Ya Zal Jalali Ampunkanlah daku Wahai Yang Memiliki Keagungan

Ya Allah Antal 'Azizul Ghafurur Rahim Ya Allah Engkau Maha Mulia, Pengampun & Pengasih
Ya Allah Antal Quddus Salamul Karimu Ya Allah Engkau Maha Suci, Sejahtera & Pemurah

p/s: Penulis tak dapat ilham lagi untuk perkongsian ilmiah..nantilah di entry yang seterusnya..maklumlah lepas raya ni banyak sangat perkara yang tak diduga terjadi..semoga Allah sentiasa memberi kekuatan pada penulis ameen..

Monday, September 14, 2009

SELAMAT HARI RAYA


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita merafakkan rasa syukur kita kehadrat ilahi ( huhuhu..ayat skema yang dah selalu sangat orang guna untuk mulakan ucapan)..

Apa-apa pun entry kali ni lebih bersifat santai, sebabnya kita dah nak sambut raya…emhhhh sedihnya ramadhan sudah hampir dengan hari perpisahan, ramadhan akan meninggalkan kita, bagaimana ramadhan akan datang?, sempat ke tak kita nak sambut lagi..semoga ramadhan ini memberi perubahan yang positif pada diri masing-masing.

Dikesempatan ini, penulis ingin memohon seribu kemaafan (seribu je? Kenapa tak sejuta ke, sebillion ke? Hmmmm…boleh lah kan seribu pun) seandaianya ada kata yang menguris hati, ada tingkah laku yang tidak disenangi, ada janji yang terlupa nak di’patri’ (pergh…patri tu), ada sikap yang tidak disukai, dan yang sewaktu denganya lah..kita manusia kekadang kekhilafan diri tidak disedari empunya diri, oleh itu marilah saling ingat-mengingati supaya bila mati tak bawa dosa diri.

Firman Allah dalam surah an-nisa ayat 149 yang bermaksud:

Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan,menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh, Allah Maha Pemaaf, Maha Kuasa.

Kepada semua Ikwah dan Akhawatfillah…semoga dakwah terus menyinari gerakkan diri, sebagai da’ie yang bertebaran di bumi, tugas digalas tanpa rasa jemu dihati, semoga ramadhan kali ini memberi kekuatan diri untuk terus beramal dan menyampaikan seru ilahi kepada manusia-manusia yang ingin kembali juga mereka yang lalai perlu diingati, dengan pesan ilahi juga rasul yang dicintai, di sampaikan sepenuh hati..mohon maaf kekhilafan yang tidak disedari kerana penulis hanya seorang insan yang tidak terlepas dari kelalaian…kerana itu adalah ujian..untuk menjadi manusia yang terpilih.

Sekali lagi mohon maaf dari mula kita berukhwah sehingga hari ini terutama Kak Wan Azilah (k.gee yang disayangi) sekeluarga, akhawat Pasir Puteh Kelantan, akhawat Kolej Jaiputra, Mantan anak-anak usrahku yang kini sudah bertebaran menjalankan misi masing-masing, Ikhwah & Akhawat Perak (K.Nora, K.Afifah,K.Mah, K.Teh, K.Yong,K.Faridah, Ustz Fadhlan, Ustz Shahruzzaman,Ustz Zulkifli dan ramai lagi), kepada orang-orang lama dalam bidang dakwah ahli-ahli HELIKS, kepada Ikhwah dan Akhawat di WAMY Malaysia (K.Dayang termasuk kat sini kan? ;)) dan tak lupa juga kepada naqibah yang dihormati K.Rosmawati, serta ahli-ahli usrahku. (Fuhhh…panjang lebarnyelah ucapan)

Tidak lupa juga kepada sesiapa yang mengenali diri ini, Mohon maaf sekali lagi. Juga kepada seluruh keluarga besar Hj Ahmad b.Hj Minus dan Hajah Patimah bt Hj. Sanusi (bila nak buat reunion family besar kita ni???)….SELAMAT HARI RAYA ,MAAF ZAHIR DAN BATIN.

P/S: Balik kampung…ooooooo..balik kampung….;)

Friday, September 11, 2009

Mencari Lailatul Qadar



Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum.

Entry kali ini adalah berkenaan mencari Lailatul Qadar. Sedih sebenarnya, sebab bila ramadhan sudah masuk ke fasa yang ke2 atau dengan kata lain telah masuk ke dalam fasa mencari lailatul qadar, memberi makna pada penulis bahawa ramadhan akan berakhir.

Persoalan kenapa 1,000 bulan?

Kerana 1,000 bulan itu bersamaan dengan 83 tahun mengikut pada jangka hayat manusia. Jika kita hidup selama 83 tahun beribadah kepada Allah s.w.t, maka Malam Lailatul-Qadar itu adalah bersamaan dengan ibadat kita kepada Allah s.w.t selama kita hidup.

Persoalannya lagi, bolehkah kita hidup hingga 83 tahun ?

Kerana umur umat manusia yang akan dipanggil ‘ pulang ke kampung asal’ tidak mampu kita duga dan tidak mungkin mampu di ukur dengan kecangihan teknologi sekali pun kerana ada yang pulang ke rahmatullah pada umur 40 tahun, malah muda dari itu pun ada, apatah lagi hendak menunggu hingga 83 tahun. Marilah kita berusaha semaksima mungkin mengabdikan diri pada Allah selagi diberi ruang dan peluang kepada kita.

Mengikut Hadith Nabi Muhammad S.A.W., "Carilah Malam Lailatul-Qadar itu pada Malam-Malam Ganjil" iaitu pada Malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Persoalannya adakah kita mampu meraih malam yang lebih baik dari seribu bulan ini?

Persoalan yang penulis utarakan ini sebenarnya mempunyai jawapan pada diri masing-masing. Jawapan yang terletak pada diri orang-orang yang mencari malam yang begitu istimewa ini. Layakkah kita menerimanya ? Bagaimana pula amalan kita sebelum 10 malam terakhir ini? Adakah pada sepuluh malam terakhir ini sahaja kita berhempas pulas beribadah kepada Allah? Atau cukupkah dengan berniat untuk turut memperolehinya tanpa ada kayu ukur yang boleh digunakan untuk kita menilai kesungguhan kita mencarinya?

Semuanya bergantung kepada kesungguhan kita beribadah pada ramadhan ini, keikhlasan dan ketundukkan hati kita menghadap Sang Empunya Dunia. Dan yang paling penting adalah bagaimana sikap kita selepas keluarnya dari Universiti Ramadhan tahun ini? Masih terjagakah sembahyang berjemaahnya? Masih terus istiqamahkan dengan tadarus quraannya? Bagaimana pula dengan solat-solat sunatnya? Qiamulalilnya? Zikirnya? Nafsu makannya? Akhlaknya pula, adakah sudah ada peningkatan sebelum dan selepas ramadhan?

Hukum Iktikaf

Hukumnya sunat muakkadah (Yang benar-benar dituntut) pada 10 hari terakhir ramadhan kerana mengharapkan malam lailatul-qadar.

Jadual Malam Lailatul Qadar

Berkata Imam Ghazali Rahimahullah "lalilatul qadar itu ialah pada malam-malam ganjil didalam sepuluh hari terakhir ramadhan." . Beliau juga memberikan formula mendapatkannya seperti jadual dibawah:

KEADAH AWAL BULAN RAMADHAN

MALAM LAILATUL QADAR

Jika awal ramadhan, jatuh pada hari.........(lihat column di sebelah)

Ahad atau Rabu

Malam 29 Ramadhan

Isnin

Malam 21 Ramadhan

Selasa atau Jumaat

Malam 27 Ramadhan

Khamis

Malam 25 Ramadhan

Sabtu

Malam 23 Ramadhan

Berkata Sheikh Abu Hasan "semenjak aku baligh, aku tidak pernah terlepas mendapatkan malam lailatul qadar dengan kaedah tersebut" . Kaedah ini diambil dari kitab Mathlak Badraian karangan Muhammad Daud Al Fathani, Rujuk Mukasurat 65. Kita hanya mampu berusaha dengan apa sahaja cara yang tidak bertentangan dengan syarak, namun harus diingat kerana Malam Lailatul Qadar ini adalah RAHSIA ALLAH, tidak ada sesiapa pun yang tahu bila terjadinya malam lailatul qadar dengan tepat.

Wallahu a’alam

p/s: Hmmmm…marilah sama-sama kita muhasabah kembali diri kita yang serba tiada apa-apa ini. Penulis sendiri terutamanya…apa yang penting bagi penulis, rasa kedekatan dengan Yang Maha Penyantun.

Tuesday, September 8, 2009

Musafirku Dibulan Ramadhan


Bismillah, Alhamdulillah, Allahuakbar...
Assalamualaikum w.b.t.... (bagi salam ala-ala Haji Mustafa)

3 hari lepas Allah izinkan penulis untuk bermusafir ke negeri yang banyak meninggalkan kenangan kepada penulis iaitu Kelantan. Ada tujuan dan niat yang besar sebenarnya kedatangan penulis ke Kelantan. Kerana ingin menjaga kekuatan ukhuwah penulis dengan seseorang (akhawat) yang penulis sayangi dan hormati. Bukan dengan 'si dia' seorang sahaja, tetapi juga akhawat yang lain. Misi utamanya adalah 'ukhuwah'. Selain itu, apa yang ingin penulis kongsikan di sini ialah nikmat dan indahnya bermusafir ketika bulan ramadhan. Ramadhan mendidik manusia untuk lebih bertaqwa seperti yang telah dirakamkan dalam surah Al-Baqarah :183,

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Ada satu perbezaan yang sangat besar apabila bermusafir dalam bulan ramadhan iaitu solat. Jika bukan di dalam bulan ramadhan kebisaannya bas akan berhenti berehat untuk makan tengah hari dan solat. Malangnya kebanyakan penumpang hanya akan turun untuk makan sahaja tetapi tidak untuk solat, selepas selesai makan terus naik ke atas bas.

Berbeza dengan bulan ramadhan. Dah namanya pun bulan ramadhan mestilah bas berhenti untuk solat, satu perkara yang mengembirakan hati penulis adalah apabila ramai penumpang yang turun untuk solat jamak..masa nilah baru nak tanya macam mana niat solat jamak. Macam-macam manusia ni. Semoga turunnya mereka dari bas untuk tunaikan solat adalah dari hati yang ikhlas untuk beribadah kepada Allah sebagai tanda ketundukkan hati bukan kerana malu kepada manusia.

Bertepatan dengan huraian ayat di atas maksud “Supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halal pun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.

Begitulah betapa besarnya hikmah menunaikan solat lebih-lebih lagi kelazatan beribadah itu dilakukan di dalam bulan ramadhan ini. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”

(Shahih Ibnu Khuzaimah)

Suasa di Kelantan sangat berbeza. Sudah banyak pembangunan yang penulis dapati di negeri serambi Mekah ini. Kadang-kadang keresahan diri mula datang menyerang. Apakah ini sebahagian daripada perancangan musuh-musuh Allah untuk melalaikan manusia. Yang terbaru pembina bangunan pasaraya yang hampir siap di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Hampir saja penulis tidak dapat mengecam jalan-jalan di tengah-tengah bandar ini kerana sudah banyak yang berubah. Mungkin 2 tahun berikutnya akan hilang 'peta jalan' Kelantan dari minda penulis kerana perubahan demi perubahan dijayakan.

Benarlah kata setengah orang, negeri Kelantan adalah 'syurga membeli belah'. Macam-macam ada, semuanya ada. Semoga pembangunan demi pembangunan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini tidak melalaikan masyarakat negeri Kelantan khusunya. Semoga ramadhan kali ini adalah yang terbaik. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

p/s: kenangan sepanjang perjalanan penulis sebagai seorang musafir kali ini adalah pada waktu berbuka, apabila terpaksa berbuka dengan kueh akok sahaja di dalam kereta kerana dalam perjalanan untuk menziarahi akhwat fillah di kelantan selain menziarahi orang-orang yang masih setia berkhidmat di Kolej Jamiah Islamiah Putra esok harinya.

Thursday, September 3, 2009

Hadith


Salam alaik..
Beberapa hari lepas, bekas 'anak' usrah penulis minta tolong penulis carikan hadith-hadith yang berkaitan dengan bulan ramadhan. Semoga dengan entry kali ini ia mampu memberi manfaat kepada semua.

Dalil daripada hadith (Pertama)

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Dalil daripada hadith (Kedua)

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Seterusnya...

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Seterusnya...

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Dan seterusnya...

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Dan yang terakhirnya...

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

p/s: sebarang pertambahan dalil di alu-alukan...sila tinggalkan di bahagian komen. :)

Wednesday, September 2, 2009

Ramadhan di kampung


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t

Salam ramadhan...
Entry penulis kali ni adalah mengenai sambutan ramadhan di kampung. Sengaja penulis mengambil cuti bekerja selama 3 hari. Tujuan yang pertama adalah untuk berpuasa dan berbuka dengan ayah dan mak yang tercinta selain lepas rindu sebab lama tak balik kampung, yang kedua sebab nak tenangkan fikiran. Tak tahulah kenapa 2 minggu kebelakangan ni banyak perkara yang mengganggu fikiran penulis sehingga membawa kepada sakit..hmm..ujian Allah bertandang lagi...bait-bait lagu yang penulis dengar memberi semangat untuk menghadapi apa jua masalah..."walau apa yang terjadi, berjalanlah tanpa henti. Kerana nanti kau akan mengerti "
semoga Allah memberi kekuatan untuk lebih hampir kepada-Nya dan menjadi manusia yang terpilih, semoga ramadhan kali ini lebih dan lebih baik dari yang sebelumnya ameen...

Punya la tak sabar nak balik kampung...suka sangat mengalahkan budak kecil. Yelah bak kata orang selagi kita ada mak dan ayah ni luangkan masa sebaik mungkin dengan mereka. Maklumlah anak manja ayah..hehehehe.

Yang kelakarnya, punyalah takut nak naik bas. Bukan takut untuk travel sorang-sorang tapi takut dengan susana persekitaran yang tak berapa selamat. Tapi penulis ingat satu..jika kita selalu ingat Allah, Allah juga akan ingat pada kita..dengan kekuatan itulah penulis memberanikan diri untuk meredah situasi dan kondisi pada waktu itu.

8.00 pagi penulis keluar dari rumah, abang hantar. Bukan tak berani nak drive sorang-sorang, ayah tak izinkan lagi pun saja tinggalkan kereta untuk abang. Sebabnya kereta penulis je yang available untuk bergerak jauh, kereta abang sendiri tak berapa available untuk pemanduan yang jauh.

Turun di ERL Putrajaya kemudian beli tiket ke Salak Selatan. Turun di sana naik pulak Star ke Plaza Rakyat. Punya la cuak sebab tak biasa area di situ. Kesian kakak ipar jadi mangsa. Nasib baik la kredit banyak lagi...sure lepas ni penulis akan ingat sampai bila-bila laluan nak ke Plaza Rakyat.

Sampai di Kamunting pukul 1.30 ptg. Kamunting dulu dengan sekarang..hmmm adalah berubah sikit dengan bangunan-bangunan yang tinggi.

Bestnye..dah sampai Perak. Lepas tu penulis ambil bas ke Parit Buntar bukan apa sengaja tak nak menyusahkan ayah nak kena ambil di Kamunting pula. Fuhhh..lama jugak la tunggu bas dekat setengah jam jugak la. Biasanya bas Parit Buntar ni akan lalu Semanggol, jalan di sini 'bengkang-bengkok'...rupanya jalan di sini sekarang sedang dalam proses baik pulih..

Perjalanan penulis mengambil masa selama 20 minit untuk sampai di Simpang Empat, Jalan Gula. Sebelum tu perlu melalui Semanggol, lalu sekolah lama Ma'ahad Al-Ehya Asshariff. Sekolah tercinta..macam-macam kenangan di situ.

Sampai di perhentian bas Simpang Empat ayah dah tunggu..dengan anak-anak sedara yang menyebuk juga nak jemput penulis.

Hari ni berbuka dengan mak dan ayah..bestnya..Menjadi rutin penulis bila balik kampung mesti ada perkara yang dimuzakarahkan dengan ayah. Persoalan penulis kepada ayah mengapa saling salah menyalah dalam bab-bab perbezaan furuk, dalam bab mengamalkan sunah nabi atau tidak, menyalahkan ulama-ulama yang dahulu dan banyak lagi perkara yang penulis bincangkan dengan ayah. Tentang orang-orang mampu berhujah atas nama agama. Orang ni salah, orang ni betul..ish3.

Betulah kata ayah, ramai orang yang ilmunya menggunung tinggi yang ada ijazah yang ada master hatta sampai Phd sekali pun, bila berbahas dia tidak 'SAMPAI'. Bila orang-orang ini bercakap kita boleh lihat setakat mana ilmu yang dia ada..kata ayah lagi,
fuhhh bahaya betul kalau bercakap dengan ayah habis semua di'bacanya'..inikan pula anak perempuan dia, macam tau je anak dia sekarang tengah serabut...sampai suruh minta cuti dan balik kampung.

Apa yang penulis maksudkan dengan 'sampai' di sini?..hmmmm nantilah jika di izinkan Allah penulis akan huraikan dilain entry. Bukannya apa takut-takut apa yang penulis sampaikan nanti disalah tafsir oleh orang-orang yang tidak 'sampai'. Cuma pesan ayah pada penulis, kurangkan bercakap tapi banyakkan mengkaji dan berfikir, kemudian rujuk quran dan sunnah. Oklah cukup bab tu masuk bab lain pulak.

Sembahyang Terawih biasanya penulis akan ke surau berhampiran dengan rumah ayah, tapi disebabkan ayah tak berapa sihat kami terawih bersama di rumah.

Emhhh..hari yang ditunggu dah tiba..hari jumaat. Malam ni abang-abang penulis bertolak pulang ke kampung...kakak-kakak pula akan sampai esok petangnya.

Hari yang ditunggu dah tiba...fuhh penuh halaman rumah ayah dengan kereta-kereta abang-abang dan kakak-kakak. Lagi penuh rumah ayah dengan cucu-cucunya yang sangat ramai. Meriah betul buka puasa ramai-ramai, sebab sudah menjadi rutin keluarga kami akan berkumpul beramai-ramai sekurang-kurangnya dalam setahun tu ada lah dalam 10 kali pertemuan. Ini semuanya penulis punya rancangan, bukan apa untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Mak masak best-best hari ni, kakak ipar buat mee kari ketam, kakak no 3 buat cucur udang dan karipap, kakak no 1 buat pencuci mulut..sedap, mak buat laksa, kueh seri muka dan macam-macam lagi lah. Masa nilah penulis menuntut ilmu masak memasak ni..hihihi.

Lepas berbuka, kami solat....selesai semuanya..masa untuk berkongsi kehidupan sekeluarga.Macam-macam cerita. Penulis dan beberapa orang abang dan kakak, ambil peluang untuk bermuzakarah lagi dengan ayah.

Selesai muzakarah penulis keluar rumah sebentar untuk lihat susana kampung waktu malam dalam bulan ramadhan. Teringat penulis zaman kecik-kecik dulu. Kalau time-time macam ni, kampung penulis akan dihiasi dengan lampu pelita sekeliling rumah..antara rumah-rumah mesti berlawan susunan pelita yang paling cantik, rumah siapa yang paling banyak pelita, lepas tu main bungan api. Kalau dulu, kerja-kerja pasang pelita ni kerja abang,penulis dan adik bongsu lah...sekarang dah tiada sesiapa yang nak buat semua tu..kami dah besar-besar. Dulu, lepas maghrib je budak-budak akan keluar main. Berani la sebab hantu-hantu dah kena ikat..hmm macam tu la fikiran time zaman budak-budak dulu. Budak-budak sekarang dah tak berapa kreatif...dan tak semeriah dulu.

Kampung penulis sekarang musim mengetam padi..best sangat. Kalau orang dulu mereka akan mengetam secara beramai-ramai...kemudian akan 'memukul' padi. Semuanya dilakukan dengan tulang empat kerat, suasana dulu pun seronok, semangat gotong-rotong. Tapi sekarang semuanya guna kecanggihan teknologi. Kalau dulu, lepas musim mengetam padi yang paling seronok budak-budak lelakilah, tapak sawah akan menjadi kering dan mereka akan jadikan tapak sawah tadi sebagai padang bola sepak.Hmmm meriah sangat. Ohhhh kampungku parit dua.....

p/s: saje nak kongsi susana dulu dan sekarang.....