Tuesday, July 28, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.

Perbincangan seterusnya adalah mengenai SASARAN DAKWAH.

Apakah jawapan yang anda akan berikan sekiranya anak-anak halaqah anda bertanyakan soalan seperti bi bawah:

Soalan : Apa sasaran dakwah yang ingin dicapai dari mengikuti halaqah dan tarbiyah?

Hah! bagaimana jawapan anda (sebagai naqib/naqibah/murabbi/murabbiah) terhadap pertanyaan tersebut? Mari kita berkongsi pandangan.

Seharusnya penjelasan yang sepatutnya diberikan mengenai sasaran dakwah (ahdafud da'wah) kepada anak-anak halaqah adalah seperti berikut:

1) Membina peribadi muslim.(Bina'ul faradil Islam)

Bagaimana yang dikatakan membina peribadi Islam? Yakni membina terbentuknya peribadi-peribadi yang bertaqwa kepada Allah dan aktif berdakwah di jalan Allah. Menjadikan Allah sebagai tujuannya, Rasulullah sebagai teladannya, Al-quran sebagai panduan dan peraturan hidupnya, jihad sebagai jalan hidupnya dan mati di jalan Allah sebagai cita-cita tertingginya. "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" (QS 2:207)

2) Membina keluarga Islami (Bina'ul usrotul Islam)

Bagaimana membina keluarga Islam?. Dari peribadi-peribadi Islam diharapkan akan terbentuk keluarga-keluarga Islami. Iaitu keluarga yang terdiri dari suami isteri yang telah terbentuk keperibadian Islamnya. Juga keluarga yang telah siap secara zahir dan batin untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak yang berwatak Islami dan da'ieyah sebagai penerus risalah Islamiah di masa hadapan. " Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang dipermudahkan-nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (QS 66:6)

3) Membina masyarakat Islami (Bina'ul mujtama' al Islam)

Keluarga-keluarga Islami yang telah terbentuk akan mewarnai dan membentuk masyarakat, sehingga masyarakat menjadi Islami. Iaitu masyarakat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sehingga Allah melimpahkan barakah kepada mereka dari langit dan bumi. "Jikalau sekiranya penduduk-penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami melimpahkan barakah dari langit dan bumi..."(QS 4:96)

4) Membina negara Islami (Bina'ul daulatul Islam)

Setelah terbentuknya masyarakat Islami, diharapkan akan terbentuk negara Islami. Iaitu negara yang pemerintahannya selalu melakukan amal ma'aruf dan nahi mungkar secara konsisten sehingga tumbuh masyarakat yang adil, beradab, dan sejahtera. Negara yang pemimpinnya beriman dan tunduk pada hukum Allah, "Hai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan Rasul (nya) dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah(Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (QS 4:59)

5) Membina alam Islami (Bina'ul ustadziyatul alam)

Akhirnya, sasaran dakwah terakhir adalah terbentuk dan terbinanya alam semesta ini dengan nilai-nilai Islam. Dunia tunduk pada ajaran Allah secara menyeluruh. Pada waktu itulah tidak ada lagi fitnah di muka bumi. Kaum muslimin pada waktu ini benar-benar telah menjadi rahmat bagi semesta alam." Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam." (QS 21:107)


Kelima-lima sasaran dakwah tersebut harus dibentuk dan dibina secara bertahap dan berkesinambungan. Aktivis dakwah tidak boleh cukup puas hanya samapai pada tahapan tertentu sahaja.

Wujudnya sasaran dakwah bukanlah dihitung dari umur individu para penggerak /aktivisnya. Dakwah merupakan perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, keteguhan dan kecerdikan. Tidak peduli berapa lama dan berapa banyak tenaga yang dikorbankan, dakwah harus terus bergerak menuju sasaran akhirnya. Dakwah merupakan jalan bagi muslim untuk menuju redha-Nya.
"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah: dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya." (QS 2:27)


P/S : Berhenti pada satu sasaran dakwah adalah sikap pengecut. Sikap kepahlawanan muncul dari keberanian memperjuangkan seluruh sasaran dakwah, betapa pun berat dan sukarnya jalan ke arah sana.


Thursday, July 23, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t

Permasalahan yang seterusnya ialah SIKAP TERHADAP PELBAGAI HARAKAH

Seperti yang kita maklum, di Malaysia khasnya terdapat pelbagai harakah yang membawa 'inti' dan 'isi' atas dasar perjuangan mennyebar dan menegakkan Islam. Namun persoalannya di sini bagaimanakah sikap kita terhadap pertumbuhan pelbagai harakah (jama'ah) yang banyak ini?

Soalan : Bagaimanakah sikap kita terhadap pelbagai jama'ah (harakah) yang ada?

Jawapan :

Pelbagai jama'ah (harakah) yang ada saat ini muncul kerana rasa peduli mereka untuk mengembalikan manusia kepada ajaran Islam dan kembali kepada proses untuk memanusiakan manusia. Keragaman jama'ah yang ada saat ini tidak boleh dielakkan kerana mereka berdiri atas dasar ijtihad ( hasil pemikiran) sekelompok muslim setelah tiadanya jama'ah muslimin (jama'ah yang melingkupi umat Islam sedunia) sejak runtuhnya Khilafah Turki Utsmani. Kerana berdiri atas ijtihad masing-masing, maka menjadi wajar jika uslub (tata cara) pelbagai jama'ah itu dalam memperjuangkan Islam menjadi berbeza-beza. Ada yang mengambil 'garis keras', 'lunak' dan moderat.

Sikap kita sebagai muslim terhadap pelbagai jama'ah (harakah) yang ada adalah menganggapnya sebagai aset umat. Ertinya, kewujudan mereka merupakan sarana (jalan) untuk bekerjasama dalam memperjuangkan Islam. Bahkan lebih cantik sekiranya jama'ah ini dapat bersatu mewujudkan kembali jama'ah muslim yang telah hilang. Kerana itu, untuk memastikan agar cita-cita itu menjadi kenyataan seharusnya sikap kita terhadap pelbagai jama'ah yang ada adalah dengan :

1) Tidak boleh menganggap suatu jama'ah sebagai yang paling benar, sedang yang lainnya adalah salah. Selama jama'ah yang lain tetap berjuang dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah.

2) Dalam mengajak oran mengikuti jama'ahnya, tidak boleh memburukkan jama'ah lain selama jama'ah tersebut tetap konsisten dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah.

3) Tidak boleh menafikan kewujudan jama'ah yang pelbagai tersebut dengan tidak mahu berinteraksi atau bergabung dengan salah satu di antara jama'ah yang ada.

4) Sentiasa membuka pintu dialog dengan jama'ah lain agar tidak wujud salah faham sebagai sarana peluang bekerjasama.

5) Berusaha untuk tetap menjalin kerjasama dengan jama'ah lain, terutama dalam masalah-masalah yang disepakati.

Selagi mana sikap kita terhadap pelbagai jama'ah yang ada masih seperti yang dikemukan di atas insyaallah keragaman jama'ah tidak akan membawa mudarat (kerugian) bagi perjuangan umat. Keragaman jama'ah akan menjadi mudarat jika pihak masing-masing menutup pintu dialog dan kerjasama, serta telah memburukkan jama'ah lain dalam usaha merekrut anggota untuk jama'ahnya. Wallahu'alam.

p/s: Pengalaman banyak mengajar penulis untuk lebih memahami perjalanan harakah, halaqah dan tarbiyah. Oleh kerana itu ajarkan diri anda supaya sentiasa bersangka baik dengan jama'ah yang pelbagai walaupun ada dua atau tiga perkara yang kita kurang setuju salurkan dengan bijak dan betul serta berhikmah agar ukhuwah Islamiah tidak terputus. Jama'ah yang baik adalah jama'ah yang serius memperjuangkan Islam dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang juga serius memperjuangkan Islam.

Wednesday, July 22, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t...

PENGERTIAN HALAQAH DAN TARBIYAH

Soalan: Apakah sama pengertian halaqah dengan tarbiyah?

Jawapan : Tidak, pengertian kedua-dua di atas adalah berbeza.

Soalan: Jika berbeza, apa perbezaan di antara istilah halaqah dan tarbiyah?

Jawapan:

Kedua-dua istilah ini adalah berbeza. Tarbiyah secara harfiyah bererti pendidikan. Secara definisi tarbiyah boleh juga disebut sebagai proses belajar untuk merubah perilaku seseorang ke arah yang lebih Islami. Setiap bentuk pendidikan (keislaman) boleh juga disebut sebagai tarbiyah.

Tarbiyah boleh dilakukan melalui pelbagai cara, seperti membaca buku Islam, mendengarkan ceramah agama di radio, menonton ceramah Islam di TV/VCD, menghadiri seminar, ceramah atau bedah buku Islam dan lain-lain.Boleh disimpulkan bahawa tarbiyah memiliki sarana belajar yang banyak dan beragam.

Halaqah berbeza pengertiannya dengan tarbiyah. Halaqah secara harfiah bererti lingkaran. Halaqah ialah sekelompok orang yang mempelajari Islam secara berterusan dan dibimbing oleh seorang murobbi (pembimbing/pembina) . Halaqah diyakini sebagai sarana utama tarbiyah. Sebab tanpa halaqah, tarbiyah tidak akan efektif untuk merubah seseorang menjadi berkeperibadian Islam. Sejarah perjalanan tarbiyah yang panjang di pelbagai belahan dunia membuktikan bahawa halaqah adalah satu-satunya cara tarbiyah yang efektif untuk membentuk peribadi muslim yang baik.

Jadi kesimpulannya di sini, dapat dikatakan bahawa tarbiyah bersifat umum yang mencakupi segala aktiviti pembelajaran (Islam). Manakala halaqah pula merupakan cara atau sarana yang terpenting dan utama dari tarbiyah Islamiyah. Halaqah lebih bersifat khusus. Wallahu'alam.

p/s: tanpa halaqah, tarbiyah tidak akan efektif

Tuesday, July 21, 2009

Solusi Jitu Permasalahan Halaqah

Bismillahirrahmanirrahim..

Insyaallah bicara kali ini penulis lebih fokuskan kepada permasalah halaqah serta jalan penyelesaian yang boleh di ambil.

DAKWAH DENGAN 'COVER' TERTENTU

Soalan: Pada waktu bilakah dakwah perlu memakai 'cover' tertentu? Sebaliknya, pada saat bila pula dakwah tidak perlu memakai 'cover' tertentu?

Jawapan:

Yang dimaksudkan 'cover' di sini adalah jama'ah memakai nama organisasi yang berbeza dengan nama sebenarnya. Pemakaian 'cover' juga termasuk masalah ijtihadi yang diatur secara qoth'i dalam syar'i. Hal ini terpulang kepada kebijakan jama'ah itu sendiri. Jika jama'ah merasa perlu memakai 'cover' untuk berdakwah kepada masyarakat, hal ini disebabkan beberapa alasan:\

1) Masyarakat lebih mengenali nama organisasi 'cover' daripada nama rasmi jama'ah.

2) Nama rasmi jama'ah di lihat kurang diterima kerana stigma negatif di kalangan masyarakat tertentu terhadap nama tersebut.

3) Melindungi nama jama'ah dari buruk sangka dan fitnah kerana bergerak pada level yang masih kontroversi dalam masyarakat.

4) Adanya kekuatiran jika memakai nama jama'ah akan menyulitkan perjalanan dakwah.

5) Nama rasmi jama'ah kurang popular dan familiar di mata sebahagian masyarakat.

6) Adanya hambatan (larangan) dari pihak tertentu yang tidak sengan dengan jama'ah (yang kekuatannya lebih besar dari kekuatan jama'ah , sehingga jama'ah perlu memakai nama lain yang lebih sah atau halal penubuhannya di sisi undang-undang.

Dengan pelbagai alasan tersebut, jama'ah dapat mengambil kebijakan untuk menggunakan nama atau 'cover' tertentu baik untuk skala jama'ah secara menyeluruh atau peribadi-peribadi anggotanya.

Jadi boleh sahaja jama'ah secara menyeluruh atau peribadi anggota jama'ah menggunakan berbagai 'cover' untuk mempermudahkan dakwahnya. Yang penting dalam dakwah bukanlah dengan nama apa kita bergerak, tapi dengan apa kita bergerak. Sebab pada dasarnya para aktivis dakwah hanya menyeru kepada Islam, bukan mengajak orang menyeru kepada nama tertentu selain Islam.

Nama jama'ah atau nama 'cover' hanyalah sarana untuk menyeru orang kepada Islam. Apa pun nama yang kita gunakan, kita harus konsisten menyeru manusia kepada Islam.

Jangan sampai para aktivis 'terperangkap' dengan nama tertentu yang di pakai jama'ah. Alih-alih apakah nama itu disukai atau tidak disukai olehnya. sebab sebetulnya hanya ada satu nama bagi kita dan kelompok kita, iaitu muslim dan umat (jama'ah) Islam. "....saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang muslim ( yang berserah diri kepada Allah)" (QS:3:64)

Nama rasmi jama'ah atau nama 'cover' hanya sarana untuk memudahkan kerja-kerja untuk mengenal pasti individu-individu yang mampu memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam dan mahu beramal jama'i (bekerja sama) dalam memperjuangkan Islam.

Semoga dengan sedikit penerangan dapat memberikan kita sedikit kefahaman yang jelas mengenai permasalahan ini terutama di Malaysia. Penulis selalu berharap agar badan-badan yang memperjuangkan Islam ini bersatu padu dalam mengatasi pelbagai masalah seperti masalah belia Islam kini yang cara hidupnya sudah lari daripada ajaran Islam sebenar. Bersatu padu dalam erti kata yang sebenar dari segi roh dah jasad bukannya hanya bersatu padu di atas kertas atau di konvensyen-konvensyen tertentu sahaja. Wallahu'alam.

P\S: Sesungguhnya hanya ada satu nama bagi kita :muslim yang mukmin. Nama lainnya hanyalah sarana untuk menuju muslim yang mukmin.

Tuesday, July 14, 2009

La Tahzan Innallaha Ma'ana

Salam alaik..

“La tahzan ya ukhti…Allah tahu apa yang terbaik untuk anti”

Aku menangis semahu-mahunya apabila bait-bait perkataan itu terlintas dibenakku. Ya betul, aku tidak sepatutnya merasa sedih dengan kepayahan yang tidak seberapa yang perlu ku lalui sepanjang penghijrahanku ke tempat yang baru, suasana yang baru dan segala-galanya baru..suasana tarbiyah juga baru dan lebih mencabar. Hijrahku kali ini lebih kepada pengaplikasian ilmu tarbiyah yang telah ku perolehi. Sakit, pahit tetapi dihujungnya kemanisan iman yang dapat kurasa.

“Ukhti, kalau dahulu kita adalah orang yang sentiasa disusun gerak kerjanya..kini kita sendiri yang harus menyusun gerak kerja kita . Tautkan kekuatan hatimu dengan tuhan Rabbul Izzati kerana sebenarnya martabatmu di angkat disisi allah. Ramai yang gagal untuk melepasi ujian berat ini. Adakah anti mahu turut serta dengan mereka-mereka yang tergelincir dari jalan menyeru manusia kepada Yang Hak?”

Satu persatu ingatan dan pesanan kembali bermain-main difikiranku untuk menambahkan kekuatanku untuk terus thabat dijalan yang telah ku pilih kerana kefahaman fikrah yang telah ku perolehi sembilan tahun yang lalu..

Penghijrahanku kini berliku. Hanya Allah yang tahu bagaimana konflik diri yang terpaksa ku hadapi. Berhadapan dengan pelbagai kritikan juga pandangan hanya kerana aku mahu mencari yang terbaik buat diriku.Sepanjang penghijrahan ini juga air mata adalah teman yang sentiasa bersama-samaku. Ah! Biarkan mereka dengan cara mereka, teruskanlah dengan cara masing-masing.

Aku teringatkan tafsiran surah yunus:64 “Ingatlah wali-wali Allah itu,tidak rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati.” Tafsiran ini ku ambil sebagai penyuntik semangatku..juga lirik lagu nasyid dari kumpulan Firdaus :

Ku Mohon

Dilubuk hatiku terdalam,

Ini yang ku pilih penuh keyakinan

Namun kadang bimbang menyerang

Sanggupkah melangkah? Ku terus berjalan

Saat badai menderaku

Hingga rapuh dan goyah

Tiada daya untuk bertahan

Hanya engkau tempat berpegang

Berkatilah setiap semangat jiwa

Untuk selalu berjuang dijalanmu

Kerjakanlah hati yang kadang redup

Tertiup angin duniawi…….

Saat hujan basahiku……

Dalam derai air mata

Dengarlah permohonanku…

Lalu takdirnya, aku diarahkan untuk duduk di dalam halaqah orang-orang yang lebih berumur dariku, yang lebih lama dalam dunia tarbiyah, yang lebih mantap fikrahnya, yang lebih matang fikirannya, yang lebih beradab dan berakhlak.

Lalu Allah campakkan rasa gembira yang tidak boleh digambarkan dengan apa sekali pun, mungkin ini hadiah dari Allah.

“Oh! Ye ke?, hmmm…usrah dengan makcik-makcik ni payah sikit, lambat lepas tu macam-macam kerenah, ini tidak boleh itu tidak boleh. Lambat lah, kerja dakwah kita kena cepat.”

Aku hanya tersenyum apabila salah seorang ukhtifillah mengeluarkan kenyataan sebegitu . Betul aku tidak menafikan gerak kerja dakwah kena cepat , tapi jika ada perkara-perkara yang mengharapkan komitmen untuk seorang da’ie itu dengar dan taat, maka seharusnya dengar dan taat.

“Tidak mengapalah ukhti, mereka masih belum tua, apabila mereka tua nanti baru mereka tahu”

Tersentak rasa apabila kenyataan ini keluar dari seorang yang sangat ku hormati kerana ‘dia’ adalah antara manusia yang ‘mengikatku’ dengan tarbiyah. Nasihat serta tegurannya akan ku jadikan sebagai bekal perjalananku. Aku suka bermuzakarah dengan ‘orang-orang’ lama dalam tarbiyah kerana di situ aku mengumpul ilmu secara tidak sedar dan lebih bermakna selain lebih memberi kesan.

“ Anti kena tahu dan faham, golongan orang-orang lama yang dikatakan lambat ini ada 3 sebab , pertama : kerana perlu mengikut saluran yang betul, kedua: kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, dan yang ketiga: kerana telah futur. Alasan yang pertama dan kedualah yang sepatutnya orang muda faham dan alasan yang ketiga adalah alasan yang membolehkan kenyataan orang muda tadi diterima.Anti boleh faham?”

Begitulah hasil muzakarahku dengan seorang ust yang juga telah lama berada di medan ini. Aku sangat faham bahkan itulah peganganku sewaktu ku tahu berkenaan dengan akhawat yang akan bersama-samaku dalam satu usrah. Aku sangat beruntung kerana ini adalah jalan untuk Allah berikanku ilmu yang banyak melalui ‘orang-orang’ lama dalam tarbiyah. Gembira bukan kepalang. Kalau sesetengah ‘orang-orang’ muda mungkin menggelarkan diri mereka ini sebagai makcik-makcik tetapi aku lebih senang dan dekat memanggil mereka dengan panggilan ‘kak’.

“Ingat, kita ni masih perlu menjalani tapisan demi tapisan Allah kerana untuk menghasilkan batu—batu yang keras agar dapat membina bangunan yang kukuh memerlukan ‘bahan-bahan’ yang betul-betul berkualiti, Allah tidak sama sekali bertanya berapa ramai yang telah engkau tarik untuk memahami agamanya tetapi allah akan tanya adakah kita telah melakukan kerja-kerja menyampaikan?”

Pesan naqibahku sewaktu halaqah yang telah diadakan. Betul lah kata orang pengalaman merupakan guru yang terbaik untuk kehidupan.

Wallahualam….

p/s: penulis memang suka bersahabat dengan orang yang lebih berumur dari penulis kerana banyak pengalaman dan nasihat yang penulis boleh dapat. Bak kata orang lagi mematangkan diri.


Wednesday, July 1, 2009

Sabar...aplikasi atau hanya sekadar ucapan dibibir?

Salam alaik..

Hmmm.. dua bulan kebelakangan ni penulis agak sibuk sedikit dengan urusan di pejabat dan urusan 'luar pejabat'. Sebab itulah penulis tidak mempunyai masa untuk meng 'up date' blog sendiri..jangan kata up date blog sendiri nak baca surat khabar pun x sempat...mula dengan daurah wamy kemudian disusuli pula dengan urusan penyerahan cek kepada Raudah Sakinah. Kemudian perlu menghadirkan diri di Konvensyen Pendakwah Negara anjuran JAKIM baru-baru ini. Selesai dari konvensyen penulis perlu memenuhi temujanji untuk bertemu dan mengetahui lebih dekat lagi peranan PERKID dalam menangani masalah sosial dikalangan remaja Malaysia dan Islam khususnya. Selesai sahaja semua temujanji biasalah kena buat laporan lah pulak.. kesibukkan ditambah lagi dengan berita dari Damman (Arab Saudi) mengenai keinginan fatayat saudi mengadakan lawatan ke Malaysia pada bulan Ogos nanti..fuhhh pening kepala nak selesaikan...macam-macam hal.

Kita berbalik pada pokok perbincangan asal mengenai SABAR. Penulis yakin di luar sana sudah berpuluh majalah-majalah ilmiah mengulas persoalan ini. Pelbagai kaedah juga diberi sebagai saranan untuk mencapai tahap sabar ditambah lagi dengan sifat AMARAH yang telah menguasai diri masing-masing dan di darabkan dengan sifat ego kemudian ditambah lagi dengan sifat merasakan diri sendiri adalah betul.

Kita senang untuk berbicara perihal SABAR ini. Tetapi hakikatnya ramai yang telah gagal. Walaupun orang-orang itu adalah orang yang berilmu tinggi, atau yang ditarbiyah atau ustazah atau ustaz atau sesiapa sahajalah selagi ia bernama manusia yang tidak mudah lepas dari nafsu amarah. Inilah jihad yang besar sebenarnya dalam diri kita ...jihad untuk melawan segala HAWA NAFSU.

Kita marah apabila berhadapan dengan kerenah manusia yang pelbagai.. walaupun kita adalah orang yang pernah memberi pengisian atau peringatan tentang sabar. Iman kita diuji sebenarnya..jangan kata orang penulis pun sama.. pesan rasul..sekiranya kita marah diwaktu kita sedang berdiri maka duduklah sekiranya berasa marah lagi maka berbaringlah..sekiranya semua benda sudah dilakukan dan masih berasa marah maka pergilah berwuduk.

Kemarahan itu datangnya dari syaitan..syaitan itu dicipta dari api jadi padamlah api itu dengan air wuduk...insyaallah dan perbanyakkan ISTIGHFAR. Bagi penulis sendiri pengalaman banyak mengajar penulis untuk menjadi hamba Allah yang lebih diredhai...pengalaman dari ayah dan mak adalah yang utama serta pengalaman hamba-hamba Allah yang berada disekeliling.

Pesan ayah sewaktu muzakarah bersama keluarga..orang yang dapat menahan marah adalah orang yang paling tinggi darjatnya begitu juga orang yang sentiasa memberi maaf dan memohon maaf...pesan ayah lagi sekiranya engkau berasa marah wahai anakku.. diamlah dan istighfar..kerana diam itu lebih baik dari berkata-kata...alhamdulillah penulis berjaya mengaplikasikannya...sekarang apabila penulis berasa marah penulis akan berdiam diri dan memandang semua itu datangnya dari allah...indahnya mendalami HAKIKAT INSAN. Lagi indah apabila guru yang memberikan ilmu pengetahuan itu adalah AYAH penulis sendiri. Inilah perkara yang membuatkan penulis sentiasa rindu untuk pulang ke kampung selain menziarah mak dan ayah. Sekiranya kesihatan ayah mengizinkan maka kami akan pulang dengan bekal ilmu yang baru tetapi sekiranya kesihatan ayah tidak mengizinkan hanya peringatan yang akan diberi...rindu ayah mak.

Marah itu datangnya dari api syaitan..tujuannya adalah mahu memutuskan silaturrahim..AWAS sahabat-sahabatku jangan sesekali kita menjadi orang yang akan memutuskan silaturrahim...
Turunkanlah egomu, sombongmu dan sifat bongkakmu... selagi sifat-sifat ini dijadikan sahabat maka kamu menuju kepada kemusnahan.

Tidak akan kurang duit dalam bank, tidak akan koyak kain, sekiranya kita berdiam diri dari sesuatu "perbalahan" atau dengan kata lain 'mengalah'. Mengalah bukan kalah malah kitalah yang menang sebenarnya..menang dalam menundukkan hawa nafsu..menang kerana dapat menewaskan musuh yang tidak boleh dilihat.

Semoga ianya dijadikan sebagai peringatan untuk diri penulis sendiri..wallahua'lam..

p/s : berjalannya hamba allah di atas muka bumi ini dengan tujuh sifat dan sifat yang wajib yang ada pada diri kita adalah 4. :)